Setiap kali melihat video yang tular di media sosial mengenai hadiah si anak kepada kedua ibu bapa, lazimnya pada bahagian komen rata-rata menulis “Siapalah yang buat mata aku masuk habuk ni?” Atau “Bergenang air mata” dan banyak lagi. Betapa mudahnya hati kita terusik bukan? Ya, tidak dinafikan apabila berbicara mengenai ibu bapa, ramai yang tersentuh. Kerana apa? Dalam diri kita masih punya sifat keprihatinan, sayangkan ibu bapa dan seboleh mungkin mahu berikan yang terbaik untuk mereka.

Kredit Foto: IG Anzalna Nasir

Bukan Hadiah Jadi Ukuran
Jika dahulu Anzalna Nasir membelikan kereta buat ayahnya, baru-baru ini Amyra Rosli pula berkongsi muat naiknya di media sosial membelikan kerusi urut sebagai hadiah kepada kedua ibu bapanya. Dan netizen memuji cara penghargaan mereka sebagai anak. Juga ramai lagi selebriti yang tidak ketinggalan menghadiahkan pelbagai pemberian istimewa kepada emak dan ayah masing-masing. Benar, mungkin ada yang kurang senang melihat public figure seperti seperti selebriti berkongsi apa yang mereka berikan kepada ibu bapa masing-masing di media sosial.

Kredit Foto: Google

Hinggakan ada yang berkata sekadar mahu menunjuk, meraih populariti di media sosial dan sebagainya. Namun jika dilihat dari perspektif lain, ia secara tidak langsung mengajak pengikut dan orang ramai agar terinspirasi dengan apa yang mereka lakukan. Tidak perlu memberi hadiah yang mahal-mahal atau berjenama mewah semata-mata. Sebaliknya jadikan ia sebagai inspirasi dan ikutan untuk terus menghargai dan membalas jasa serta pengorbanan emak ayah.

Kredit Foto: Google

Berilah Apa Sekalipun Mengikut Kemampuan
Ya, tidak dinafikan kemampuan kewangan semua orang berbeza-beza tahapnya. Ada yang cukup-cukup makan atau mungkin perlu menyimpan sejumlah wang terlebih dahulu semata-mata mahu membeli hadiah kepada emak ayah. Tidak mengapa, ukur baju di badan sendiri. Berilah apa hadiah sekalipun mengikut kemampuan masing-masing. Apa yang penting adalah keikhlasan dan niat kita melakukannya. Bukan untuk meraih likes, views dan seumpama dengannya. Sebaliknya ia diberi sebagai perlambangan dan bukti kita menghargai pengorbanan juga penat lelah mereka selama menjaga kita. Kerana hakikatnya walau berapa sekalipun nilainya, ia tetap takkan sama atau setimpal dengan jasa mereka.

Kredit Foto: Google

Bahagiakan Mereka Selagi Masih Ada
Ada yang begitu tersentuh apabila berbicara mengenai pemberian hadiah kepada emak ayah. Kerana ada dalam kalangan kita yang tidak berkesempatan berbuat demikian disebabkan kehilangan mereka buat selama-lamanya. Lantaran itu, hanya rampaian doa dan sedekah jariah yang boleh dilakukan sebagai ‘hadiah’ buat mereka di alam sana.

Kredit Foto: Google
Tidak kurang juga yang mungkin terkilan kerana belum sempat bekerja atau merasa punya duit sendiri untuk dikongsi dan diberi kepada ibu bapa. Malah banyak lagi faktor yang tidak mengizinkan. Lantaran itu, buat mereka yang masih punya emak ayah berbaktilah kepada mereka semahunya. Jika tak mampu memberi hadiah yang mahal-mahal, cukup sekadar hulurkan wang waima RM50 sekalipun. Kerana Allah sahaja yang tahu keberkatan nilai duit tersebut. Daripadanya Allah akan lorongkan rezeki yang tidak disangka-sangka. Cubalah usahakan. Siapa tahu, bermula dengan memberi RM50, tidak mustahil suatu hari nanti dengan izin-Nya anda mampu menghadiahkan nilai yang lebih daripada itu untuk emak ayah.