Perkahwinan adalah satu fasa penting dan terbesar dalam kehidupan kebanyakan manusia. Ini kerana ia akan mengubah kehidupan seseorang daripada tanpa pasangan, kini hidup berdua bersama orang asing.


Ia juga dikatakan fasa mencabar kerana perkahwinan bermaksud bertambahnya komitmen baru. Perkahwinan bukan hanya untuk suka-suka atau berseronok tetapi ia membawa kita ke satu kehidupan yang lebih bertanggungjawab dan matang.


Walaupun ada yang berpendapat, perkahwinan tidak seharusnya mengubah apa-apa, hakikatnya perkahwinan tetap akan mengubah kehidupan dan rutin harian kita. Kita tidak boleh lagi membawa kehidupan ‘single’ ke dalam alam rumah tangga.


Jika tidak, beerantakanlah rumah tangga. Walau macam mana memahami pun pasangan, sampai satu masa pasti tidak mampu bertahan dengan sikap sambil lewa kamu yang masih menganggap hidup berumahtangga sama seperti zaman bujang.



Bagaimana Kendali Lima Tahun Pertama Perkahwinan?


Kata Bruce Lee, “love is like a friendship caught on fire. In the beginning a flame, very pretty, often hot and fierce, but still only light and flickering. As love grows older, our hearts mature and our love becomes as coals, deep-burning and unquenchable.”


Kita tidak dapat menduga bagaimana situasi perkahwinan dan kesudahan dalam bahtera yang dibina? Namun, kita mampu berusaha untuk sama-sama mencapai syurga dalam hubungan bersama.


Tidak selalu akan bahagia tetapi setidaknya kita mampu lalui setiap ujian yang datang dengan baik dan diselesaikan tanpa perlu meleraikan ikatan pernikahan. Inilah matlamat asal perkahwinan untuk kekal bersama hingga ke syurga.


Namun, tidak dinafikan pada awal perkahwinan, kebanyakan pasangan agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru apabila sebumbung dengan pasangan. Kesulitan mula datang daripada segi membiasakan diri dengan rutin harian pasangan yang pasti berbeza.


Dalam mencari titik keserasian itulah, akan timbul pelbagai ketidak sefahaman dan perbezaan pendapat. Di sinilah pentingnya tolak-ansur dan komunikasi untuk menjelaskan yang mana boleh diteruskan dan yang mana harus diketepikan dalam rumahtangga yang baru dibina itu.


Kamu juga mungkin diuji menerusi keluarga pasangan. Ini juga antara elemen penting dalam perkahwinan apabila kita tidak hanya perlu mengenali pasangan malah harus juga menerima kehidupan baru bersama keluarga ke dua itu.


Orang ke tiga bagaimana? Ya, ada sesetengan ikatan pernikahan yang dibina selepas terlerainya ikatan cinta terdahulu. Ada insan yang kecewa atas kebahagiaan kita pula. Ini juga antara ujian yang perlu ditangani dengan baik. Jangan wujudkan situasi curiga dalam rumah tangga. Berterus-terang dan bersikap telus itu yang terbaik.


Dan sisi paling utama dalam perkahwinan yang baru dibina yang perlu diambil kira juga adalah daripada sudut ekonomi. Hal ini banyak berlaku kepincangan kerana pasangan baru tidak arif lagi mengatur kewangan mereka.


Bajet pula sudah banyak dihabiskan untuk urusan perkahwinan dan masuk rumah baru. Maka, ada yang mula rasa tertekan dengan komitmen sara hidup bersama orang baru. Maka, di sini perlunya kerjasama kedua-dua pasangan untuk sama-sama menyusun belanjawan keluarga.


Dulukan perbelanjaan mengikut keperluan. Ketepikan yang tidak penting. Apa lagi kalau dikurniakan anak dalam masa terdekat, lagi banyak duit diperlukan untuk menimang orang baru. Maka, sekat nafsu, ikutlah kewarasan akal dalam mengatur belanja.


Semoga berbahagia hingga tahun-tahun seterusnya dan mendapat berkat dalam rumah tangga, kekal hingga ke syurga...