Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kajian Membuktikan ANAK DEGIL Lebih Berjaya dan Cekal Hadapi Hidup. Jadi, Mak Ayah Jangan Stres!

Penulis Jemputan
02/02/2021 01:21 MYT
Teks: Nor Hatina Shuib


Timbullah rasa segan kepada tuan rumah sehingga anda dan suami memukul anak dan mencubit mereka sebagai isyarat kepada tuan rumah, ini bukan ajaran daripada anda berdua.


Walaupun hati tidak sepenuhnya mahu memukul anak, tetapi dek rasa malu yang menebal dengan sikap anak, pendekatan itu diambil supaya orang tidak akan cakap anda ibu- bapa yang gagal mendidik anak.


Salah seorang sahabat penulis, ada berkongsi rasa sedihnya memiliki anak tidak dengar cakap. Katanya, kelakuan anak terutama ketika di khalayak ramai makin menjadi-jadi.


“Seolah-olah kita yang ajar. Jadi aku dan suami ambil keputusan, selagi anak tidak cukup besar dan boleh berfikir sendiri, kami duduk saja di rumah. Mahu ke kenduri kahwin atau ke pasaraya pun jadi segan.


“Orang sekarang pula jenis suka pandang apabila lihat anak kita buas ke sana ke mari. Kadangkala sebab itulah kita rasa nak pukul anak apabila lasak tidak kena tempat,” katanya.


Hakikatnya, sebagai ibu bapa, memiliki anak sempurna, tidak berkelakuan degil dan mendengar kata adalah satu impian. sesiapa saja.


Kredit foto: Google

Namun, tidak semua ibu bapa bertuah memiliki anak-anak dengan karakter yang diharapkan. Lantas, ada yang cenderung memukul anak sebagai cara terbaik menghentikan perbuatan anak yang mereka tidak berkenan dan menimbulkan rasa hilang sabar.


Bagaimana pun sedarkah anda bahawa tindakan memukul anak lebih banyak memberi kesan negatif kepada perkembangan emosi kanak-kanak.


Biasanya anak kecil ini akan menjadi lebih degil, pendendam, memberontak ataupun hilang keyakinan diri.


Kajian kelakuan yang dijalankan Profesor Madya Sains Pembangunan Manusia dan Keluarga di University of Texas, Austin, Elizabeth Gershoff, mendapati tindakan memukul kanak-kanak banyak memberi lebih kemudaratan jika perubahan sikap jangka panjang yang ibu bapa inginkan daripada si manja.


Katanya, apabila ibu bapa memukul anak, ia hanya memberi kesan segera ketika itu saja dan mereka akan kembali kepada tingkah laku sama selepas tindakan memukul itu.

Kredit foto: Google


Anak Cerminan dan Refleksi Sikap Ibu Bapa

Anak adalah cerminan ibu bapa. Perasan atau tidak, cara anak makan, duduk, bercakap dan kegemarannya memiliki banyak persamaan dengan ibu atau bapanya.


Setiap hari, ketika di rumah, ia adalah umpama sekolah kepada anak-anak. Mereka meniru dan menggayakan kembali apa saja yang ibu- bapa tunjukkan di hadapan mereka.


Sejak usia bayi lagi, otak anak-anak bertindak balas dengan tindakan dan percakapan ibu bapa. Menurut kajian, otak seseorang semasa kecil berkembang dengan cepat sehingga 15 tahun.


Ibu bapa menjadi cermin kepada anak-anak kerana segala tindakan ibu bapa diperhati dan dipelajari oleh mereka. Maka, sentiasa berkata yang baik-baik, menjaga adab dan tatasusila yang positif.


Apabila seseorang itu bergelar ibu – bapa, mereka perlu bersedia juga memikul tanggungjawab membesarkan anak dengan memupuk nilai diri dalam hidup anak- anak.


Jangan juga salahkan diri apabila anak anda lasak dan tidak mendengar kata. Kesungguhan anda memperbaiki kekurangan anak boleh merangsang anak untuk mengubah kelakuan mereka secara berperingkat.

Kredit foto: Google

Anak Degil Lebih Cekal Tempuhi Masa Depan

Satu kajian dijalankan American Psychological Association, mendapati terdapat hubung kait antara kedegilan zaman kanak-kanak dan kejayaan profesional anak-anak di masa depan.


Kajian ini dilakukan pada kanak-kanak berumur antara 8 hingga 12 tahun dan menilai mereka dalam pelbagai ciri termasuk kelayakan dan kedegilan.


Kajian itu kemudian menunggu 40 tahun untuk melihat bagaimana kanak-kanak ini menjadi dewasa dan hasilnya amat mengagumkan.

Kajian ini dapat menyimpulkan bahawa kanak-kanak biasa yang dianggap degil adalah jauh lebih cenderung untuk berjaya dalam kerjaya daripada orang biasa.




Kajian itu tidak memberi sebab yang tepat untuk keputusan, tetapi terdapat banyak kesimpulan yang dibuat tentang mengapa anak-anak yang degil mungkin lebih berjaya.


Salah satu faedah utama yang menjadi degil sebagai seorang kanak-kanak ialah kedegilan akan menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam semua aspek hidup, termasuk dalam kelas.


Mereka yang berdaya saing dalam bilik darjah akan berusaha keras dan kemudian mendapat gred yang lebih baik. Ini kemudian akan membawa masuk ke sebuah kolej yang lebih baik dan akhirnya mendapat pekerjaan yang lebih baik.


Oleh itu, pakar menyarankan terus berusaha,sabar dan membimbing anak sepanjang perkembangan mereka.



Jika Anda Resah dan Stres Punyai Anak Degil. Jom Cuba Panduan Di Bawah Ini:

1. Elak Bandingkan Anak
Ibu-bapa perlu ambil perhatian perkara ini. Elak untuk membanding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain.

Terima hakikat, bertenang dan elakkan stress keterlaluan. Bagaimana kita boleh mendidik anak jika pengurusan stress kita sendiri gagal.



2. Terapi Doa
Bagi beragama Islam, ungkapan doa yang baik-baik untuk anak. Panggilan positif seperti anak bertuah, anak bijak, anak soleh dan anak hebat pasti terungkap dalam jiwa mereka jika disebut hari-hari.

Setiap hari bacakan doa pelembut hati untuk menawan jika mereka yang masih rapuh dan perlu bimbingan anda.



3. Peluk dan Kucup Anak
Kajian menunjukkan ibu –bapa yang sering memeluk dan mencium anak berupaya mengecas elemen positif dalam diri anak.



4. Bawa Berjumpa Kaunselor
Jika anda tidak dapat mengawal keadaan, boleh merujuk masalah anda kepada kaunselor untuk bantuan kaunseling.

Adakalanya anak mencari orang lain untuk mengutarakan masalah mereka.



5. Papar Cerminan Positif
Perkara paling mudah, tunjuk sisi positif anda menerusi tingkah laku, tabiat dan percakapan yang berhemah. Nasihat anak dengan kata-kata hikmah.

Anak adalah kurniaan Allah, oleh itu manfaatkan setiap detik untuk mendidik ke arah yang baik. Ingat, perubahan itu memakan masa tetapi amat bermakna apabila ia berjaya.

#Gaya Hidup #Ibubapa #Anak Degil
;