Highlights
KISAH BENAR – Lara Suami Punya Isteri Tidak Bekerja Tapi Pemalas, Bengis dan KAKI TIK TOK Tak Sudah
Sudah tiga tahun Sahir (bukan namsa sebenar) menikahi Yasmin (bukan nama sebenar). Perkahwinan mereka atas suka sama suka.
Berkenalan sebentar sahaja dan terus memutuskan untuk bernikah kerana Sahir daripada keluarga alim ulamak, tidak suka anak-anak berlama-lama menjalin hubungan tanpa akad.
Sahir mengenali Yasmin menerusi seorang kawan ketika bertemu di sebuah majlis perkahwinan. Ketika mula kenal, Yasmin sangat baik budi bahasanya, lemah-lembut dan menyenangkan hati Sahir.
Setelah berkahwin setahun, mereka terus dianugerahkan zuriat. Bunting pelamin. Dan setelah memiliki anak, Sahir meminta Yasmin untuk berhenti kerja sahaja bagi menguruskan anak mereka.
Tambahan pula, gaji Sahir sebagai kakitangan kerajaan berjawatan pegawai cukup untuk menanggung mereka anak-beranak. Yasmin pun selalu mengadu letih dan terbeban dengan pekerjaannya.
Sudah lama pun Yasmin mahu berhenti kerana tidak mampu memikul banyak tugasan. Maka, bermulalah kehidupan baru mereka.
Lauk Dibeli, Baju Hantar Dobi
Walaupun pada awal perkahwinan, Sahir sudah nampak sikap Yasmin yang agak pemalas dan suka belengah-lengah itu, namun Sahir cuba bersangka baik mungkin kerana Yasmin sedang berbadan dua menjadikannya cepat letih dan tidak bermaya.
Namun, selepas selamat melahirkan dan anak pun sudah masuk lima bulan, sikapnya masih tidak berubah malah semakin teruk membuatkan Sahir mulai curiga. Sahir cuba membantu apa yang terdaya namun dengan jadual kerjanya setiap hari, mana mungkin mampu menguruskan hal rumah.
Boleh dikatakan setiap hari, lauk dibeli di kedai. Yasmin hanya masak nasi sahaja. Kadang-kadang sampai naik muak makan lauk dari kedai yang bertakung minyak dan rasanya entah apa-apa.
Apabila diminta masak, Yasmin hanya akan goreng telur atau sekadar buat nasi goreng. Katanya, tidak sempat. Sahir cuba untuk memahami, tetapi apabila Sahir berada di rumah, dilihat anak mereka tidak punya banyak ragamnya.
Bayi, masanya banyak tidur dan menyusu. Itu pun, dicampurnya dengan susu formula.
Baju-baju juga semua dihantar ke dobi. Kalau ketika awal gaji Sahir masuk dan diberi elaun kepada Yasmin, Yasmin akan memanggil sahaja orang dobi datang kutip pakaian dan hantar terus ke rumah apabila siap semuanya.
Bayarannya pastilah lebih mahal. Alasannya susah nak keluar dengan bayi kecil. Rumah jangan dicakaplah, tunggang-langgang dibuatnya. Dikemas hanya dua, tiga hari sekali.
Kasihan anak yang duduk dengan lantai yang jarang dimop dan rumah yang berdebu. Kalau larat, Sahir tolong juga selepas balik kerja.
Kredit foto: Google
Kuat Selfie, OOTD, Tik Tok Tak Sudah
Handphonenya mahu iPhone model terkini. Katanya, sudah biasa pakai iPhone, tak biasa guna yang lain. Dan, benda alah itu melekat sepanjang masa di tangan Yasmin.
Penuhlah ruang Facebook dan Instagram Yasmin dengan gambar-gambar selfie, OOTDnya. Lebih mengujakan siap dengan Tik Tok. Aduhai, kadang-kadang Sahir sendiri naik malu apabila isterinya bertik tok di media sosial dengan keadaan dirinya yang nampak alim sahaja.
Kadang-kadang, ada juga keluarga dan teman-temannya mengusik. “Amboi, isteri kau dah macam artis kat Facebook.” “Bukan main isteri kau ya..” Sahir tahu semua itu usikan sinis mereka melihatkan Yasmin yang makin hari makin ligat di media sosial.
Barulah Sahir dapat mengagak apa aktiviti lazim Yasmin di rumah sehingga tidak cukup masa untuk menguruskan rumah tangga. Sibuk bermekap, kemudian ambil selfie, edit gambar dan melayan komen-komen orang.
Kredit foto: Google
Tidak Boleh Ditegur, Pecahlah Barang
Bukan tidak pernah ditegur. Apabila Sahir tanya dan nasihat, mulalah dia naik berang walaupun Sahir menegur dengan baik dan tidak langsung meninggi suara. Orang bersalah begitulah.
Mahu menutup kelemaah diri. Sebelum semuanya terbuka, lebih baik dia dulu melenting melalak supaya Sahir tidak berani untuk meneruskan pembongkaran dan menegur kesilapannya.
Berang Yasmin sampai mencampak-campak barang. Habis pecah barang rumah dibalingnya. Yasmin memang tidak malu terjerit terpekik sehingga jiran sebelah dengar.
Asalkan, dirinya tidak ditegur, dia sanggup buat apa sahaja. Akhirnya, Sahir mengalah. Tidak mahu memanjangkan cerita. Kalau lebih-lebih nanti, Yasmin mahu keluar dari rumah dan balik ke rumah orang tuanya.
Lagilah, Sahir tidak mahu ia berlarut sampai begitu. Selagi boleh ditutup, Sahir cuba untuk menutup aib rumah tangganya.
Sehingga kini, Sahir hanya mampu diam dan sesekali cuba menegur dengan lembut. Sahir cuba bersabar selagi mampu. Dia sayangkan rumah tangganya. Kalau boleh dia tidak mahu membesar-besarkan isu yang kecil dengan harapan Yasmin mampu berubah.
Yang mampu dilakukan kini hanyalah berdoa, memoho Yasmin diberi kematangan dan kesedaran. Kalau nak diceritakan kepada orang pun segan kerana nampak sangat lemahnya dia sebagai ketua keluarga.
Semoga Sahir juga kuat untuk menjadi nakhoda kapal yang berkempimpinan tinggi.