Wanita bernama Mazlisa Banu ini seorang guru. Suaminya, Abdul Rasyid meninggal dunia pada usia 36 tahun, meninggalkannya seorang anak perempuan sahaja. Pada waktu itu, si anak, Maisarah baru berusia tiga tahun, enam bulan. Pastinya, mereka masih di awal permulaan perkahwinan yang sedang berada di fasa susah senang bersama.


Belum puas menikmati kasih-sayang seorang suami, haknya itu diambil semula oleh sang penciptanya. Mengimbas detik hitam, saat suami berada di ambang sakaratulmaut, kata Mazlisa; “Suami asalnya mengadu sakit hulu hati dan bahu dan mendapatkan rawatan gastrik. Apabila adik saya seorang doktor melihat laporan perubatannya, dia menyarankan saya pergi melakukan pemeriksaan lanjut.”


Menurut wanita yang berasal dari Ipoh, Perak ini lagi, mereka membuat rawatan lanjut seminggu selepas itu dan doktor mengesahkan suaminya mengalami jantung tersumbat. Terus, suami menjalani angioplasty (meletakkan stent pada saluran yang tersumbat). Namun, sudah sampai masa janjinya dengan penciptanya, dua hari selepas itu arwah menghembuskan nafas terakhir.


Ditinggalkan pada usia masih muda dengan anak masih tidak mengerti apa-apa, bagaimana Mazlisa mendepani ujian getir ini? Walaupun bekerja dan punya gaji tetap, namun pastinya ia terkesan juga kalau dulu komitmen hidup dibahagi dua, kini tertanggung di atas bahunya sendiri. Ternyata, Tuhan tidak kejam. Dia dihadirkan dengan keluarga ipar yang sangat prihatin dan berakhlak mulia.





Sambutan hari jadi terakhir Maisarah bersama Ayahnya




Bagaimana menguruskan proses pengembumian dan lain-lain perkara berkaitan?

Syukur, semua urusan pengurusan jenazah arwah berjalan lancar tanpa perlu saya ke sana ke sini menguruskan semuanya. Alhamdulillah, keluarga arwah sangat membantu. Jujurnya, segala perbelanjaan dari arwah di hospital sehinggalah ke liang lahad, adik-beradiknya yang langsaikan. Satu sen pun duit saya tidak diminta mereka. Mereka juga melakukan badal haji untuk arwah pada tahun yang sama, juga menggunakan duit mereka sendiri.



Usai suami dikebumikan, bagaimana peranan keluarga ipar dan apa kata mereka kepada Mazlisa, mungkin ada ditimbulkan isu harta secara terus?

Setelah selesai urusan pengebumian suami, mereka duduk di rumah saya selama seminggu untuk menemankan saya dan anak. Tidak mahu saya sunyi dan berduka barangkali. Makan minum kami dua beranak diuruskan mereka, tanpa saya dibenarkan untuk menyajikan apa-apa kepada mereka. Sebelum pulang, adik-beradik dan biras-biras siap tolong kemaskan rumah dan beri semua duit derma yang orang hulur tempoh hari.


Ya, mereka ada duduk bincang dengan saya tentang kehidupan saya selepas ini. Namun, bukan soal pembahagian harta yang dibangkitkan, sebaliknya mereka cuma mahu tahu komitmen bulanan saya serta mencari jalan untuk selesaikan agar saya tidak tertekan.





Arwah suami bersama tiga abang dan dua kakaknya




Bagaimana mereka membantu Mazlisa menyelesaikan hal harta arwah?

Salah seorang abang arwah yang bekerja di luar negara sanggup mengambil cuti selama dua minggu ketika itu. Dia dan isteri membawa saya ke semua tempat yang berkaitan untuk proses menyelesaikan urusan arwah seperti KWSP, Perkeso, bank-bank dan sebagaiya. Mereka tidak mahu saya selesaikan seorang diri. Mereka sentiasa ada bersama memberi nasihat dan jalan. Malah, sepupu-sepupu arwah juga turut membantu jika mereka pada bahagian yang arif. Alhamdulillah, kerana urusan lancar dan tiada pertikaian, masa untuk selesaikan semuanya hanya tiga bulan saja.




Suami tidak meninggalkan anak lelaki, sepatutnya adik-beradik lelaki arwah boleh saja menuntut bahagian mereka juga, kan?

Inilah rezeki terbesar dan anugerah terindah yang Allah kurniakan kepada saya iaitu memiliki keluarga ipar yang sangat harmoni dan budiman. Walaupun adik-beradik arwah bukan semuanya senang tetapi mereka tidak tamakkan harta. Saya ada mahu memberikan bahagian mereka, namun mereka menolak bulat-bulat. Kata mereka, “kalau Mas sayangkan kami, tolonglah jangan bebankan kami dengan harta arwah.”


Harta itu boleh saja mereka usahakan untuk anak buah mereka ini tetapi mereka sangat takut kalau termakan harta anak yatim secara tak sengaja. Bukan setakat tak nak ambil sesen pun, malah ketika anak saya masuk darjah satu, adik-beradik arwah berebut nak belikan barang sekolahnya. Apabila saya kata dah beli semuanya, mereka bagi juga duit untuk saya gunakan pada keperluan lain. Subhanallah.



Kenangan bersama di majlis keluarga suami



Bagaimana Mazlisa melihat cara hidup dan didikan dalam keluarga arwah suami sehingga mampu melahirkan anak-anak hebat seperti ini?

Arwah ayah mereka dah lama meninggal. Mak mentua pula meninggal dua tahun sebelum arwah. Saya puji cara mereka menjaga ibu mereka ketika hayatnya. Mereka saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Bagi saya didikan agama adalah tunggak penting dalam melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan bertanggungjawab. Apabila kita tahu hukum-hakam, kita takut untuk melakukan kesilapan. Keluarga arwah suami juga sangat suka memberi komitmen dalam sebarang majlis di masjid dan sentiasa bergotong-royong kalau ada majlis keluarga.



Apa yang buat Mazlisa sangat tersentuh dengan sikap baik keluarga ipar ini?

Kadang-kadang kan, sesuatu perkara yang berlaku dalam hidup kita ini bukan hanya untuk pengajaran kita semata tetapi ada hikmah untuk orang di sekeliling juga. Jiran sebelah rumah saya ini seorang India, minta izin kepada Ayah saya untuk menziarahi saya pukul tujuh pagi kerana katanya sudah sebulan dia menunggu masa yang sesuai untuk melawat saya.


Katanya, saban hari dia lihat rumah saya tak putus-putus dikunjungi tetamu, tak kira siang malam. Paling tersentuh apabila dia berkata, untuk pertama kalinya dia melihat sendiri betapa indahnya cara orang Islam menyantuni dan support wanita yang kehilangan suami terutamanya sokongan daripada keluarga arwah suami sendiri. Bayangkanlah perasaan saya waktu mendengarnya. Orang bukan Islam kagum dengan teladan yang kita tunjukkan.




Keluarga Mazlisa sendiri sentiasa di sisi memberi sokongan




Apa kata-kata Mazlisa untuk balu-balu di luar sana yang mungkin tidak punya nasib sebaik Mazlisa diberi keluarga ipar yang sangat baik, malah ada yang dikhianati disebabkan harta yang direbut keluarga arwah?


Sentiasa bersangka baik dengan ketentuan Allah. Perancangan Allah tetap terbaik dan ada hikmah di sebaliknya. Allah tidak akan menguji hamba Nya melebihi kemampuan umat Nya. Tiada ayat yang lebih manis selain memohon balu-balu di luar sana agar terus sabar dan kuat. Dan peringatan kepada ahli keluarga mana-mana arwah yang ditinggalkan, takutlah dengan amanah dan tanggungjawab Allah jika tidak mampu digalas sebaik mungkin. Jangan hanya gelap mata dengan perkataan faraid tetapi tidak faham sebab ia difaraidkan.


Harta yang diambil bukan hak anda tetapi ia adalah 'modal’ untuk membesarkan anak isteri arwah yang ditinggalkan. Walau sekecil harta, ia tetap akan ditanya di akhirat kelak. Jadi, sebelum betul-betul yakin untuk mengambil ‘hak’ itu, tanyakan kepada diri sendiri adakah anda sudah sedia untuk memikul tanggungjawab sebagai pengganti arwah? Jika tidak, janganlah dianiaya mereka. Sekalipun tak nak dibantu, jangan pula disusahkan. Wallahualam...




Anak yang menjadi lambang cinta suami