Projek pasukan kebangsaan tidak gagal dan tidak akan terkubur sebaliknya akan diteruskan walaupun terpalit isu hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan skuad negara tidak akan berhenti untuk terus menampilkan peningkatan dan mengaum di pentas antarabangsa.
Advertisement
Menurut baginda, semua pihak boleh melihat peningkatan yang berjaya ditampilkan skuad Harimau Malaya terutama menerusi struktur yang dibina dibawah kendalian ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
"Anda yang panggil ia revolusi, saya tak pernah panggil ia revolusi bola sepak tanah air. Saya rasa ia tidak gagal sebab jika anda cakap mengenai struktur bola sepak, anda boleh lihat struktur di bawah Peter.
"Pemain tidak keliru, mereka tahu bagaimana nak main dan dari segi taktikal serta teknikal, saya lihat ada peningkatan.
"Bagi saya, saya akan berjuang untuk pemain sebab mereka adalah rakyat Malaysia dan mereka berhak mewakili negara.
"Kita tidak akan berhenti dan pasukan negara juga akan terus diperkukuhkan," titah baginda dalam sidang akhbar pada Sabtu.
TMJ menegaskan bahawa baginda tidak akan berundur daripada tanggungjawab untuk terus memperjuangkan nasib bola sepak Malaysia walaupun berdepan pelbagai cabaran dan tohmahan.
Pemain terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Badan induk bola sepak negara itu sebelum ini mengakui berlaku kesilapan teknikal oleh kakitangan dalam proses penyerahan dokumen dan menegaskan perkara itu dipandang serius.
FAM telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dan keputusan dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.
Sumber: Sinar Harian