Atas Angin Independent Festival yang bakal diadakan pada 6 Ogos 2022 di Bandar Gamuda Cove, Banting, Selangor bakal melakar sejarah tersendiri sebagai sebuah festival muzik indie pertama dan terbesar yang pernah diadakan di Malaysia.

Komited untuk membawa pembaharuan, dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab bagi mengangkat muzik indie ke satu peringkat yang lebih tinggi, Atas Angin Independent Festival menyasarkan puluhan ribu pengunjung bagi menyaksikan barisan artis Indie popular seperti Sekumpulan Orang Gila (SOG), Salammusik & One Buck Short.

Bakal diadakan selama 15 jam tanpa henti, kesemua 30 kumpulan artis indie yang terlibat dalam Atas Angin Independent Festival akan melakukan persembahan secara serentak di dua pentas yang berbeza.

Pengarah Projek Atas Angin Indiependent Festival, Arif Imran menjelaskan kepentingan untuk festival ini dilaksanakan dan dijayakan oleh semua pihak.

“Kami dari barisan penganjur yang bertanggungjawab sebagai tulang belakang bagi festival ini bekerja sepenuh jiwa untuk menjayakan festival ini kerana kami yakin ia akan memberi satu impak yang besar kepada artis indie tempatan dengan menyediakan mereka platform untuk mempromosikan seni dan karya masing-masing,” jelasnya.

Salammusik, salah satu kumpulan artis indie yang bakal membuat persembahan di Atas Angin Independent Festival berkata, usaha yang dilakukan oleh penganjur seharusnya dibanggakan.

“Festival sebegini adalah apa yang ditunggu oleh peminat muzik indie tempatan. Selepas dua tahun di penjara pandemik, dengan sokongan daripada rakan artis indie tempatan yang lain, digandingkan dengan sokongan daripada peminat, kami berharap kita boleh gerakkan kembalikan momentum yang terganggu sebelum ini dan terus maju ke hadapan,” ujar mereka.

Jualan tiket kini berada di fasa terakhir dan bagi yang masih belum mendapatkan tiket, boleh berbuat demikian menerusi laman web www.atasangin.com. Harga tiket serendah RM100 bagi ahli dan RM130 bagi bukan ahli. Harga tiket termasuk dengan caj pemprosesan pembelian tiket.