HIGHLIGHTS
7 Nasihat Buat NETIZEN – Coretan Bisa Membawa Dosa, Kita Belum Sempurna Untuk Menyempurnakan Orang!
Sungguh! Makin hari, manusia semakin menakutkan. Lebih menakutkan daripada melihat jenayah di depan mata kala membaca setiap coretan netizen entah yang datang dari mana, meninggalkan komen, kecaman dan hentaman yang ‘beracun’. Kita masuk ke rumah orang, haruslah ada adabnya. Jangan disergah tidak tentu pasal. Tidak pasal-pasal kita dengan orang yang ditegur itu pun lebih kurang sama dan ada kala yang menegur itu lebih ‘busuk’ daripada yang dikatakan sedang berbuat.
Lebih membimbangkan, ada netizen yang muncul di tengah-tengah ruangan komen itu berlagak penting dan serba tahu seperti dia sedang ‘handle’ kes tersebut. Maka, berbunyilah si polan itu, “Saya ini kawan rapat dia...” “Saya ini jiran sebelah rumah mangsa...” “Mak sedara saya kenal rapat dengan Mak di polan...” Daripada fakta yang hanya secebis, akhirnya menjadi kisah dongeng selepas ditokok tambah cerpen dan puisi. Tanpa sedar kitalah si penabur fitnah.
Tahukah kamu apa hukum bagi seorang pefitnah?
Allah swt berfirman yang maksudnya;
“Maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah dan mendustakan sebaik-baik saja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka jahanam itu tersedia tempat tinggal bagi orang-orang kafir?” (Q. S. Az-Zumar : 32).
“Mahukah Aku beritakan kepadamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka turun ke tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar sungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta.” (Q. S. Asy-Syuras : 221-223).
Kadang-kadang, tidak faham juga netizen yang suka sangat ambil tahu hal kehidupan orang lain yang tidak ada kena mengena langsung dengan dirinya. Adakah mereka tidak punya kehidupan sendiri? Adakah mereka teringin sangat menjadi hakim sehingga semua orang ingin dihakiminya? Adakah kehidupan mereka terlalu sunyi sehingga suka benar membuat riuh dalam kehidupan orang lain? Ternyata kamu netizen yang sangat menyedihkan. Sesedih coretan kamu yang entah apa-apa dan mengheret kamu ke lembah dosa.

Kredit Foto: Google
7 Nasihat Buat Netizen:
- Berfikir sebelum meninggalkan sesuatu komen dan jangan melulu berkongsi apa jua berita yang dipaparkan. Berangkai dosa yang kena ditanggung nanti.
- Jangan suka membuat andaian tanpa kamu ketahui kisah sebenar, kalau dah tahu pun tak perlu dihebahkan jika ia mendatangkan sakit hati kepada orag dikatakan itu. Itu sudah dikira mengumpat. Bayangkan kalau yang membaca itu terkesan dan ia bukan setakat seorang, malah melibatkan ratusan atau ribuan orang. Berapa banyak dosa yang harus ditanggung?
- Gunalah bahasa yang elok. Orang kita kaya dengan budi-bahasa. Lihat sahajalah bagaimana orang zaman dulu kalau berkiasan, sungguh lunak didengar. Budak sekarang? Ermm...
- Jangan menjadi batu api. Jangan dikeruhkan hubungan dingin antara pihak sana dan sini. Dengan satu komen kadang-kadang boleh membawa perbalahan yang hebat sehingga keluar perkataan yang tidak manis.
- Usah memandai-mandai atau suka menambah perisa cerita. Kalau tidak tahu apa-apa lebih baik senyapkan jari itu. Tidak perlu kemarukkan perhatian dan ‘like’.
- Jangan suka tag sana sini sehingga membesarkan perkara yang tiada apa-apa. Membawa orang masuk ke gelanggang yang tiada manfaat dan mengheret lebih banyak kebencian dan puak-puak, sungguh meloyakan!
- Jika tidak suka dan berkenan, butang ‘unfollor’ kan ada. Ada kala berdiam itu lebih baik jika tidak ada yang baik untuk diperkatakan. Bukan tidak boleh menegur demi kebaikan tetapi Islam menganjurkan banyak cara yang lebih halus dan berhemah. Jangan jadi parasit! Kita belum sempurna untuk menyempurnakan orang.

Kredit Foto: Google
Must-Watch Video