Penyanyi popular era 80an, Ramlah Ram kurang bersetuju dengan pandangan sesetengah individu yang berpendapat lagu raya era baharu tidak menyengat berbanding dahulu.

Ramlah yang popular dengan lagu Cahaya Aidilfitri ketika ditemui Gempak berkata, setiap karya yang dihasilkan mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Sebenarnya saya kurang bersetuju dengan pandangan yang macam tu sebab setiap karya yang dihasilkan ada keistimewaan masing-masing.

“Tiada yang lama, tiadalah yang baru dan begitulah sebaliknya. Cumanya, selera pendengar kan berbeza-beza.

“Macam saya sendiri pun, ada juga lagu-lagu raya baru yang saya dengar dan rasa bagus. Sekarang zaman mereka, mungkin pada masa akan datang ia akan jadi ingatan kepada generasi sekarang.

“Macam kita dulu, memang membesar dengan lagu-lagu era kita jadinya kita dah terbiasa. Jangan banding-bandingkan kerana muzik ini irama dan melodinya bergerak mengikut zaman.

“Namun jika sesebuah lagu raya itu mampu bertahan berzaman-zaman sehingga menjadi nostalgia itu adalah bonus,” katanya.

Ramlah Ram ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa bersama FMC Music di Hotel EQ Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas mengenai lagu raya baharunya berjudul Kemenangan, Ramlah berkata idea muncul secara kebetulan.

“Awalnya saya bercadang nak buat lagu raya baharu untuk content saluran YouTube Ramlah Ram Group. Tapi abang ipar, Mohar mengajak untuk menghasilkan satu lagu istimewa.

“Saya pun dah lama tak rakam lagu raya. Kali terakhir saya rakam lagu raya berjudul Bila Aidilfitri Kembali pada 2012 duet dengan Jay Jay," katanya.

Menurut Ramlah, dia tetap teruja merakam lagu raya, tambahan lagi Kemenangan yang liriknya agak 'catchy' disempurnakan dengan melodi tradisional Melayu.

“Lagu ini kena dengan jiwa saya. Saya juga berharap semoga lagu raya, Kemenangan diterima baik pendengar.

“Lagu ini sudah boleh didapati di semua pelantar penstriman muzik popular. Terima kasih kepada peminat yang terus menyokong kerjaya seni saya," katanya.