Akta baharu akan diperkenalkan bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai Generational End Game, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pengenalan akta baharu tersebut akan dapat mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.

Beliau juga berkata kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok dianggarkan RM132.7 juta.

"Bermakna jika anda berumur 17 tahun dan Parlimen meluluskan akta itu, anda tidak lagi dapat membeli sebatang rokok di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kanser Peringkat KKM secara maya hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata terdapat peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus di negara ini iaitu 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

Beliau berkata dianggarkan setiap seorang daripada 10 lelaki dan setiap seorang daripada sembilan wanita berkemungkinan akan mendapat penyakit kanser.

Tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia dalam kalangan lelaki ialah kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), paru-paru (14.8 peratus) dan prostat (8.1 peratus).

Sementara dalam kalangan wanita adalah kanser payudara (33.9 peratus), dikuti dengan kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

Menurut Khairy, kematian akibat kanser merupakan sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu 34.95 peratus dan sebab kematian keempat di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 11.56 peratus.

Khairy berkata pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM137 juta untuk Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi dan jumlah tersebut tidak termasuk kos lain seperti pengimejan dan makmal untuk pengesahan diagnosa, pembedahan dan anesthesiologi, rehabilitasi dan perkhidmatan paliatif.

Pada sambutan Hari Kanser Peringkat KKM itu, Khairy turut melancarkan buku National Strategic Plan for Cancer Control Programme (NSPCCP) 2021-2025 dan buku National Strategic Plan for Colorectal Cancer (NSPCRC) 2021-2025.

Menurutnya, NSPCCP 2021-2025 mengandungi sasaran serta strategi bagi semua aspek kawalan kanser yang merangkumi Pencegahan, Pengesanan Awal, Diagnosa, Rawatan, Rehabilitasi, Penjagaan Paliatif, Rawatan Tradisional & Komplimentari (T&CM), Surveilan & Pemantauan (Registri Kanser), Penyelidikan dan Sumber Manusia.

NSPCRC 2021-2025 pula adalah subset daripada NSPCCP 2021-2025 dan merupakan pelan tindakan kanser kolorektal bagi peringkat KKM untuk mengawal kanser kolorektal, kanser kedua penting di Malaysia.

Kredit foto: Sinar Harian

BERNAMA