Pelakon, Syafiq Kyle meluahkan rasa terima kasih apabila masih ramai mendoakan dan ingin melihat pengakhiran yang baik buat dirinya bersama aktres, Mimi Lana.

Malah kata Syafiq, dia dan Mimi juga masih lagi bersahabat dan bakal bergandingan dalam satu naskhah berjudul The Experts tidak lama lagi.

“Teruskan berdoa. Kalau saya yang pegang ‘button’ makbul itu mesti saya makbulkan tapi bukan saya yang pegang.

“Kita manusia, bukan pandai sangat bercakap, kita hanya boleh reda dan terima. Bila ada pengharapan dalam hati, kita sulamkan dengan doa.

“Doalah yang terbaik, untuk kita bagi kata putus, saya bukan orang yang sepatutnya untuk bagi kata putus.

“Selepas apa yang terjadi masing-masing dapat melihat, untuk menghakimi pun terpulang pada diri masing-masing,” katanya.

Syafiq berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan filem Sheriff: Narko Intergriti bertempat di GSC Mid Valley Megamall pada Selasa.

Mimi juga dilihat turut hadir memberikan sokongan pada malam tayangan perdana filem Sheriff.


Doakan yang baik-baik

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai doanya ketika berada di Tanah Suci baru-baru ini, Syafiq berkata antaranya doa yang baik-baik berkenaan hubungannya dengan semua orang termasuklah Mimi.

“Antara salah satu doa saya adalah berkaitan hubungan saya dengan semua, hubungan saya dengan keluarga, termasuk Mimi.

“Apa yang saya boleh cakap setakat itu sajalah. Alhamdulillah kami masih berbaik dan berkawan dan untuk berkata lebih pun saya tak berani,” ujarnya.

Terdahulu, majlis pernikahan Mimi Lana dan Syafiq Kyle yang sepatutnya diadakan pada 18 Ogos 2023 dibatalkan.

BERITA TRENDING: “Dah Selesai Cara Baik Antara Kami” - Syafiq Kyle


Sebelum ini, hubungan Syafiq dan Mimi dikatakan pernah terlerai pada Mei 2020 selepas lima tahun menyulam cinta namun kembali bertaut apabila masing-masing dilihat berkongsi gambar di media sosial.

Mimi dan Syafiq bertunang pada 21 Januari 2023.

Bagaimanapun kedua-duanya kini dilihat terus berkawan baik dan terlibat dalam beberapa tawaran kerja.

Dalam perkembangan lain, Syafiq bakal muncul dengan filem arahan Syafiq Yusuf iaitu Sheriff: Narko Integriti.

Selain Syafiq, antara pelakon hebat yang membintangi Sheriff adalah Zul Ariffin, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan, Sharuddin Tamby, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Hazama, Azri Iskandar, dan ramai lagi.

Filem aksi thriller terbitan dua studio gergasi tanah air, Skop Productions dan Astro Shaw ini akan menemui penonton di pawagam Malaysia dan Singapura bermula 18 April.


BERITA TRENDING: Teaser Sheriff Baru Keluar, Tapi Ramai Dah Tak Sabar Nak Tengok - “Letupnya! Polis Tangkap Polis Ni Yang Mantap”

BERITA TRENDING: Sheriff: Filem Belum Tayang Tapi Syafiq Yusof Selamba Dedah Identiti Meth Killer, Ini Sebabnya

Sinopsis:

Sheriff menampilkan watak Nazri (Syafiq Kyle) iaitu seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.

Nazri terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas dari cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.

Dalam masa sama, Sheriff (Zul Ariffin) yang merupakan seorang anggota daripada Jabatan Integriti dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.