Siapa sangka baka durian kebanggaan Malaysia, Musang King kini boleh dinikmati penduduk di China apabila ia mula dipasarkan di rangkaian kedai Alibaba, FreshHema.

Berita gembira itu diumumkan oleh Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian yang berjaya membeli durian Musang King sejuk beku di sebuah kedai di Beijing.

Difahamkan, durian seberat 1.8 kilogram berkenaan dibalut menggunakan plastik.

Malah, kesemua durian yang dieksport dari 'Exofruits Industry' di Melaka.

Bagi anda yang tidak tahu, FreshHema merupakan gedung yang menjual barangan secara atas talian di bawah syarikat e-dagang terbesar China, Alibaba Group.

Pelanggan boleh membuat pesanan menerusi aplikasi Hema dan membayar terus melalui Alipay.

FreshHema menawarkan penghantaran 30 minit yang dijamin jika pelanggan berada dalam radius tiga kilometer dari kedai.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mensasarkan penghantaran durian yang disejukkan ke China sebanyak 1,000 tan sebulan.

Sebagai rekod, negara kita berjaya mengekspot durian ke China sebanyak 235.62 tan bernilai RM9.44 juta pada tahun lalu.

Sumber: Embassy of the People's Republic of China in Malaysia