Pelakon, pengarah dan penerbit popular, Datuk Rosyam Nor telah diumumkan sebagai juara minggu kedua program realiti hiburan spontan, All Stars Buka Panggung (ASBP) yang berlangsung di Royal Theatre Shah Alam malam tadi.

Menurut Rosyam, pada mulanya dia terfikir sama ada penonton akan mengundinya atau tidak memandangkan dia tidak mempunyai kelab peminat dan tidak aktif berinteraksi di media sosial.

"Pada mulanya, saya ada terfikir siapa yang nak undi saya jika saya masuk pertandingan ini.

"Saya bukanlah artis yang memiliki kelab peminat atau aktif berinteraksi dengan peminat di media sosial,"
katanya.

Rosyam berkata demikian di sidang media yang diadakan sejurus selepas tamatnya program tersebut.

Dalam pada itu, Rosyam berpendapat ASBP boleh dijadikan platform untuk dia mengembangkan lagi penjenamaan dirinya dalam industri hiburan kepada generasi muda masa kini.

"Saya sudah berusia 52 tahun, dengan menyertai program ini, saya dapat jadikannya sebagai satu platform untuk memperkenalkan diri saya kepada generasi muda yang menonton Astro Warna," tambahnya.

Pada pusingan pertama, Rosyam melakonkan watak seorang penunggang motosikal yang terbabas dan melanggar sebuah warung.

Dalam pusingan kedua pula, Rosyam digandingkan bersama Farahdhiya yang memerlukannya untuk menjiwai watak mudah tersinggung dan selalu menangis.

Rosyam telah memenangi wang tunai sebanyak RM4,000 berserta trofi dan wang tersebut telah disumbangkan kepada pelakon senior berbakat, Wan Maimunah.

Setiap minggu, dengan kerjasama Persatuan Seniman Negara, ASBP akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM4,000 yang dimenangi oleh juara mingguan kepada pelakon yang banyak berbakti dalam industri hiburan tempatan.

ASBP minggu kedua turut menyaksikan persembahan dari Datin Diana Danielle yang memenangi tempat kedua, Fizo Omar di tempat ketiga, serta Farahdhiya yang memenangi tempat keempat.

Rosyam bakal berentap dengan Datuk Aaron Aziz yang telah memenangi tempat pertama minggu lalu, serta juara pada minggu-minggu seterusnya.

Kesemua juara akan berentap di peringkat suku akhir yang akan diadakan pada minggu keenam nanti.


ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.

Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.

ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

ASBP akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!