Gaya Hidup
Bila Badrul Bicara: Sihat Tak Perlu Pakai Mask - Saya Paranoid, Saya Tetap Pakai!
Dalam keadaan sekarang, terlalu banyak berita yang tersebar. Ada yang betul dan ada yang palsu. Kadangkala saya sendiri keliru, tetapi mujur ada tempat hendak dituju.
Rujukan saya adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berita-berita yang selalu saya baca adalah daripada Awani. Selebihnya saya baca mungkin untuk menambah pengetahuan diri atau cuba membezakan yang betul dengan yang palsu.
Perkongsian teman-teman dalam WhatsApp Group juga menjadi rujukan. Jika saya tidak tahu, saya akan bertanya sama ada perkongsian mereka betul atau tidak. Atau mungkin saya hanya berdiam diri sahaja.
Namun dalam keadaan sekarang ini, saya cuba buat yang terbaik untuk diri saya dan keluarga saya. Setiap hari, saya akan kongsikan berita dengan keluarga yang tidak tinggal bersama saya. Ya, saya tinggal berseorangan dan tentulah rasanya lebih paranoid berbanding dengan ada seseorang untuk berbual setiap hari.
Saya mandi lebih daripada tiga kali sehari. Kadangkala sampai lima kali! Saya basuh tangan mungkin setiap satu jam, dan setiap kali basuh tangan, saya boleh jamin lebih daripada 20 saat!
Setakat ini saya keluar rumah setiap tujuh hari sekali. 17hb Mac, 24hb Mac, 31 Mac dan akan datang pada 7hb April nanti. Itu pun dalam radar 10 kilometer daripada rumah untuk membeli barangan keperluan.
Kalau ke kedai berhampiran rumah, saya pastikan tidak lebih daripada lima orang ada dalam kedai tersebut. Kalau lebih daripada lima orang, saya akan tunggu sahaja dalam kereta. Beg yang saya bawa wajib ada hand sanitizer, surface sanitizer serta mask.
Semuanya saya beli sebelum wabak Covid- 19 merebak secara besar-besaran di Malaysia. Pulang daripada luar negara pertengahan Januari lalu, saya tidak begitu sihat dan kerap demam.
Kemudian saya didapati mengalami Influenza B. Dari situlah saya mula membeli penutup muka (mask) dan hand sanitizer. Surface sanizer saya beli kemudian dan saya tambah dengan handwash, sabun untuk membasuh tangan.
Banyak penjelasan tentang pemakaian mask yang diberikan oleh doktor dan mereka yang bertauliah. Saya faham dan saya hadam. Tetapi untuk beberapa orang yang faham dan hadam sahaja tidak cukup jika yang lain masih tidak mempraktikkannya.
Setiap kali saya keluar rumah untuk membeli barangan keperluan, saya akan memakai mask. Saya ada sebab tersendiri.
Ketika kali kedua saya keluar dan berada di pasaraya berhampiran dengan rumah saya, tiba-tiba ada orang bersin. Saya toleh dan melihat kakak yang bersin itu tidak memakai penutup muka. Tangannya menyorong troli dan saya pasti dalam keadaan tersebut, dia tidak bersin pada sikunya. Sumpah, saya pun tidak tahu bagaimana hendak bersin atau batuk pada siku, kerana bentuk fizikal seseorang berbeza, tapi tak mengapalah.
Jadi, kalau saya tidak memakai penutup muka, bayangkan 'droplet' daripada kakak tersebut dan yang tersebar di udara mungkin terkena pada saya dan orang sekeliling. Saya tidak tahu dia pernah berjumpa dengan orang yang ada sejarah ke luar negara. Saya juga tidak pasti jika dia pernah bertemu dengan orang yang positif Covid- 19 dan saya juga tiada informasi bahawa dia mungkin pembawa virus yang tidak diketahui.
Apa perlindungan yang saya ada jika saya tidak memakai penutup muka? Apa yang boleh memberi jaminan saya tidak akan dijangkiti jika tidak memakai penutup muka? Apa bukti yang boleh saya dapat bahawa saya tidak akan menyedut droplet daripada kakak tersebut jika saya tidak memakai penutup muka?
Tentang sarung tangan pula, Dr. Say Shazril berkata secara teorinya betul tetapi tidak secara praktikal untuk memakainya.
Saya bersetuju dengan pendapat beliau kerana apa yang diperkatakan adalah dari segi habit. Habit bermaksud tabiat seseorang. Betul sekali apa yang diperkatakan, tetapi kalau tabiat anda betul, maka ianya lebih baik untuk diri anda.
Sarung tangan tidak perlu! Kita kena ada tabiat suka membasuh tangan dengan kerap. Jika tidak ada tempat untuk membasuh tangan, gunakan hand sanitizer. Jadikannya tabiat kita sentiasa. Bukan susahpun nak basuh tangan.
Pemegang pintu kereta, stering kereta, tombol pintu rumah, dan sebagainya saya akan semburkan dengan surface sanitizer. Sebelum keluar rumah, selepas balik rumah dan bila-bila saya rasa saya ingin semburkannya.
Barangan yang saya beli pula saya akan letakkan di bahagian belakang yang saya lapik dengan plastik. Pulang ke rumah, semua barangan tersebut saya akan rendam terlebih dahulu dalam air sabun. Ya, termasuklah telur, barangan dalam tin seperti sardin, susu dan sebagainya.
Yang tidak boleh direndam seperti pengelap dapur (kitchen towel), beras dan sewaktu dengannya saya akan semburkan dengan surface sanitizer dan letakkan pada satu sudut seharian sebelum menyimpan di tempat sepatutnya.
Kemudian saya akan mandi dan pakaian yang saya pakai, saya akan masukkan ke tempat untuk membasuh atau terus merendam di dalam baldi bersama air sabun.
Bunyinya leceh, tetapi Insya-Allah, kelecehan inilah mungkin mampu menyelamatkan nyawa. Kita berusaha sebaik mungkin dan berserah sepenuhnya kepada Yang Maha Esa.
Dalam keadaan kita menghadapi wabak Covid- 19 ini, mengamalkan tabiat yang baik adalah sangat penting. Kerap membasuh tangan, jarakkan diri anda sekurang-kurangnya satu meter daripada orang terdekat ketika keluar membeli barangan keperluan, dan pada masa lain, duduk di rumah sahaja.
Selebihnya, gunalah akal fikiran kita. Common sense! Pada saya memakai penutup muka atau mask sangat penting. 'Saya jaga awak, dan awak jaga saya'. Saya ulang, ini pendapat peribadi saya, kerana ianya dapat membantu kita menjaga antara satu sama lain.
Untuk kita yang tinggal di rumah, memakai mask hanya perlu bila mahu keluar membeli barangan keperluan atau ke hospital dan klinik. Sudah pakai, buanglah kerana ianya bukan aksesori yang boleh diulang pakai! Tapi kalau mahu buang, pastikan kita buang dengan cara yang betul. Jangan kerana pentingkan diri, orang lain pula menjadi mangsa.
Saya rasa lebih selamat apabila ke pasaraya dan melihat mereka yang membeli belah memakai mask. Yang masih ramai tidak pandai praktikkan adalah social distancing atau jarak selamat satu meter!
Tolonglah! Sama-sama kita bantu mengurangkan penyebaran wabak yang membunuh ini!
Jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Google
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Must-Watch Video