Hari ini tular di media sosial seorang kanak-kanak berusia 9 tahun memandu kereta jenis Proton Saga, meronda kampung.

Vieo bertajuk 'Handa orang Rombau Haa’ itu menjadi tular menyebabkan orang awam membuat laporan polis.

Menerusi video berdurasi 53 saat itu, kanak-kanak berkenaan turut memberitahu bapanya yang mengajarnya memandu kereta apabila ditanya oleh seorang lelaki dipercayai perakam video tersebut.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam mengesahkan tindakan saman telah dikeluarkan kepada bapa kanak-kanak tersebut.

Bapa pelajar tahun tiga itu dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan kenderaannya dipandu oleh pemandu bawah umur.

Anuar Bakri Abdul Salam berkata, bertindak atas maklumat, polis telah menjalankan siasatan dan berjaya mengesan kereta dan kanak-kanak terbabit.

"Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu memandu kereta tanpa kebenaran dan pengetahuan bapanya di Kampung Bongek, Rembau," katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.

Beliau berkata, polis mengucapkan terima kasih kepada keprihatinan masyarakat terhadap isu berlaku.