Aktiviti pernikahan menggunakan khidmat sindiket di negara jiran dibimbangi meningkat sekiranya pintu sempadan negara dibuka dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, berikutan itu pihaknya mahu menasihatkan pasangan untuk bernikah mengikut syarat ditetapkan.

Menurutnya, tindakan bernikah menggunakan khidmat sindiket di negara jiran adalah menyalahi undang-undang negara.

Katanya, keraguan mengenai keabsahan taraf perkahwinan juga timbul jika menggunakan khidmat sindiket, selain mendatangkan masalah dari segi pengeluaran surat beranak dan pendaftaran persekolahan anak-anak pada masa depan.

"Kebenaran membuka sempadan negara kelak perlu digunakan sebaiknya bukan dengan menyumbang kepada jumlah kes perkahwinan menggunakan sindiket haram yang sememangnya ditegah kerajaan.

"Perkahwinan adalah sesuatu yang baik. Justeru, gunalah saluran sebetulnya untuk membina masjid yang tidak mendatangkan masalah kepada semua pihak.

"Kita juga bertanggungjawab untuk tidak menyokong khidmat sindiket nikah yang dijangka aktif sebaik sempadan dibuka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas penyampaian sumbangan Program Jom Ke Sekolah 2022 Kawasan Kuala Krai di Manek Urai Baru, di sini, hari ini.mHadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berharap agihan wang pampasan kepada jemaah yang terpaksa menangguhkan ibadah umrah susulan penangguhan sementara memberi kelegaan kepada mereka.

"Jemaah yang menerima wang berkenaan dinasihatkan membuat akaun Tabung Haji susulan ada dalam kalangan mereka masih belum berbuat demikian," katanya.

Sumber: Harian Metro