Filem Kampung Latah Kena Kuarantin tidak kurang hebatnya dan telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton sekaligus menjadikan kutipan filem tersebut melebihi RM1 juta.

Penerbit Kampung Latah Kena Kuarantin dan Wakil MEGAPINE (M), Hazil Izham Ismail melahirkan rasa syukur di atas sambutan positif yang diberikan oleh penonton terhadap filem terbitannya.

“Alhamdulillah, jutaan terima kasih kepada FINAS dan ASTRO di atas peluang yang diberikan menerusi dana Program TV/OTT.

“Kami juga ingin ucapkan terima kasih kepada mereka yang telah melanggan filem Kampung Latah Kena Kuarantin di Astro First.

“Kejayaan ini mendorong semangat buat kami untuk terus berkarya dan menghasilkan lebih konten yang variasi serta berkualiti.

“Kami juga berasa gembira apabila segelintir penonton merasakan filem ini mampu membuatkan mereka menghilangkan tekanan seketika dengan berhibur dengan babak dan aksi yang ditonjolkan oleh barisan pelakon,” katanya.

Malah Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad juga merakamkan ucapan terima kasih kepada penonton kerana masih meletakkan kepercayaan kepada karya tempatan yang ditayangkan di platform Astro First.

“Kejayaan yang diraih oleh filem ini, memberi kami peluang untuk lebih memahami cita rasa penonton, di samping berusaha membawakan pelbagai lagi jalan cerita dan kandungan menarik kepada mereka di luar sana.

“Lebih mengujakan, filem Kampung Latah Kena Kuarantin merupakan filem pertama yang dihasilkan menerusi ‘Dana Program TV/OTT’, di bawah program Dana Kandungan Digital (DKD) agihan FINAS.

“Ini secara tidak langsung membuktikan usaha pihak FINAS dengan kerjasama Astro telah mendorong dalam merancakkan serta menjana ekonomi industri perfileman tempatan.

“Di kesempatan ini juga, syabas kepada Penerbit MEGAPINE (M) dan barisan pelakon yang telah berusaha keras menjayakan filem ini dan telah menambat hati penonton,” ucapnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, beeharap inisiatif strategik oleh FINAS dan Astro ini akan terus mendapat menyasarkan peluang kepada penerbit untuk menghasilkan kandungan kreatif.

“Kejayaan filem pertama hasil daripada ‘Dana Program TV/OTT’ iaitu Kampung Latah Kena Kuarantin menjadi pemangkin kepada nilai tambah pembangunan karya filem tempatan khususnya dalam aspek pengeluaran, pengedaran dan pemameran.

“Kami harap inisiatif strategik oleh FINAS dan Astro ini akan terus dapat menyasarkan peluang kepada penerbit dalam menjana pendapatan melalui pemilikan hak cipta yang diberikan kepada mereka, di samping menghasilkan kandungan kreatif untuk dipersembahkan kepada penonton,” ujarnya.

Filem terbitan produksi MEGAPINE (M) tersebut menyaksikan filem tempatan pertama yang mengetengahkan gelagat melatah sebagai subjek kepada latar cerita serta menghimpunkan nama-nama selebriti cukup terkenal dengan latah spontannya dan lebih menarik ia tidak pernah disaksikan dalam mana-mana filem sebelum ini.

Sebelum ini Kampung Latah Kena Kuarantin juga mendapat respon positif daripada penonton di media sosial antaranya:

“Best lah cerita ni. Ni tengah tengok lagi dah 8 kali tengok tak boring asyik gelak ja” - @anissue74

“Best sangat dah tengok memang berdekah,” @ana_banilla

“Memang best. Kelakar gila… Tahniah,” - @aniza8974

“Congratulations terhibur, hilang stress tengok movie ni,” - @suzananatasin


Jadi yang mana belum tengok tu jangan lupa tau tonton Kampung Latah Kena Kuarantin di pawagam rumah anda, Astro First (saluran 480).

Anda juga boleh strim Kampung Latah Kena Kuarantin di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Kampung Latah Permai, sebuah kampung yang unik dan menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kerana ia satu-satunya lokasi di dunia yang mempunyai kadar penduduk ‘melatah’ yang ramai.

Ajin (Azhan Rani) merupakan ketua pemandu pelancong untuk syarikat Latah Permai Travel & Tours, bersama rakan kongsinya, Jamilah (Nazia Mustafar), Eton (Ieda Moin) dan Din (PS Mansur).

Gelagat mereka sering menceriakan penduduk kampung dan juga pelancong. Dalam pada itu, Ajin menaruh perasaan terhadap Juanita (Elisya Sandha).

Tetapi Apoi (Joey Daud) telah dahulu menghantar rombongan meminang Juanita dengan mengikut adat resam dan budaya melayu, namun pinangan Apoi ditolak.

Apoi bersama konconya Abon (Bell Ngasri) dan Anjang (Wanns Ahmad) melakukan sesuatu kerana tidak berpuas hati.

Selang beberapa hari kemudian, Kampung Latah Permai yang ceria, tiba-tiba dilanda sindrom melatah yang tidak terkawal sehingga menimbulkan pelbagai kes merbahaya seperti melatah sehingga koma, melatah sehingga meninggal serta melatah sehingga terbunuh rakan atau pasangan.

Keadaan kampung semakin membimbangkan dan menjadi isu besar sehingga Ketua Kampung terpaksa membuat mesyuarat tergempar bersama penduduk bagi mencari jalan penyelasaian.

Berbagai teori dan cara menangani pandemik latah telah dibuat sehingga ada yang logik dan ada yang karut.