Kajian terbaru mendapat kucing boleh menjangkiti kucing lain dengan COVID-19 walaupun mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom.

Menerusi laporan Astro Awani, kajian terbaharu yang diterbitkan pada Rabu dalam New England Journal of Medicine itu dijalankan oleh Yoshihiro Kawaoka, pakar virus terkemuka dari Universiti Tokyo serta saintis lain dari Universiti Wisconsin.

Mereka, bagaimanapun, mendapati masih tiada bukti kukuh yang menunjukkan kucing boleh menyumbang kepada penularan COVID-19, lapor AP.

Dalam kajian itu, pengkaji menjangkiti tiga kucing dengan virus tersebut.

Selepas ketiga-tiga kucing itu bergaul dengan kucing lain yang sihat selama beberapa hari, kucing lain dikesan turut dijangkiti virus berkenaan.

Namun, tiada seekor kucing yang terlibat menunjukkan simptom lazim seperti perbezaan suhu badan atau kehilangan berat badan.

“Melihat kepada keperluan untuk menghentikan pandemik koronavirus ini melalui pelbagai mekanisme, pemahaman lebih mendalam tentang bagaimana kucing boleh menyebarkan SARS-CoV-2 kepada manusia adalah perlu,” kata kumpulan pengkaji itu kepada New England Journal of Medicine.

Terdahulu, seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti virus COVID-19.

Pihak berkuasa kesihatan Belgium mendakwa kucing tersebut dijangkiti menerusi pemiliknya.

Difahamkan, ia adalah kes pertama melibatkan jangkitan pada kucing walaupun pegawai kesihatan di Hong Kong mengesahkan dua anjing di bandar raya tersebut telah dijangkiti Covid-19.

BACA: Kucing Dijangkiti COVID-19

Sumber : Astro Awani