Kes positif COVID-19 dalam negara kembali melonjak apabila 6,288 jangkitan dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak pandemik kini 2,563,153.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 40 kematian akibat COVID-19 direkodkan menjadikan jumlah kumulatif korban akibat COVID-19 ialah sebanyak 29,769.

Semalam, negara mencatatkan sebanyak 5,413 kes jangkitan baharu COVID-19.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan individu yang mendapat tarikh janji temu dos penggalak vaksin COVID-19 untuk hadir bagi menerima suntikan tersebut.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini susulan kadar keberkesanan vaksin COVID-19 akan menurun selepas beberapa bulan.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak - Booster (CITF-B) dalam satu kenyataan memaklumkan, pendaftaran nama dalam senarai menunggu (waiting list) secara 'walk-in' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara akan bermula pada 22 November 2021.

Jangan leka, orang ramai juga dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika berada di tempat awam.

Selain itu, amalkan juga pelbagai langkah kebersihan yang boleh mencegah penularan wabak berbahaya itu.

Foto dan Sumber: Astro AWANI