Laman Utama
COVID-19: Kes Naik Lagi 5,755, Malaysia Dijangka Berdepan Gelombang Keempat Selepas PRN Melaka
Negara mencatatkan 5,755 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, sedikit meningkat berbanding semalam.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah sebanyak 2,602,835 kes.
Sementara itu, data COVIDNOW merekodkan pertambahan 47 lagi kes kematian dengan angka kumulatif ialah sebanyak 30,110 individu.
Jumlah itu juga termasuk 10 kes 'brought in dead' (BID) atau kes kematian di luar hospital.Pada 24 November 2021, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 5,755 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,602,835 kes.Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://t.co/aIQttvCbIPData harian laman COVIDNOW dikemaskini sekaligus selepas tengah malam.— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) November 24, 2021
Sementara itu, kerajaan juga bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku gelombang keempat jangkitan COVID-19 dalam negara susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada Sabtu lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kesan jangkitan COVID-19 itu hanya dapat dilihat sekitar 10 ke 14 hari akan datang.
"Kita memantau keadaan ini. Kerajaan tahu dan bersedia untuk berdepan dengan kemungkinan gelombang keempat akan berlaku di negara kita, ini kita amat khuatir.
"Kita menjangkakan kesan jangkitan ini akan dapat (dilihat) dalam tempoh 10 ke 14 hari lagi," katanya di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, mengambil pengajaran daripada PRN Sabah tahun lalu, Aaron menjelaskan, kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat bagi PRN Melaka dengan tidak membenarkan kempen besar-besaran diadakan.
"Kita juga akan menggunakan SOP yang hampir sama pada PRN Sarawak kelak dalam mengekang penularan COVID-19," ujarnya.
Must-Watch Video