Cef selebriti Datuk Fazley Yaakob mendedahkan bahawa dia sudah enam tahun tidak mengambil gula dalam pemakanan hariannya.

Menurut Fazley, 42, ia merupakan salah satu cara gaya pemakanan sihat yang dipraktikkan bagi menjaga kesihatan dan bentuk badannya.

"Saya ini cerewet bab makan. Ini dah masuk tahun keenam saya tak ambil gula.

"Bahkan, kalau saya ambil makanan bergula, badan saya macam tak boleh nak terima. Itu yang bila kita lama tak ambil, sekali ambil rasa pening," katanya kepada Gempak.

Biarpun mengusahakan restoran yang menyajikan pastri, kata Fazley, semua menu yang disajikan kepada pelanggan adalah kurang manis.

"Pastri yang saya buat sebenarnya semua sudah kurang 30 hingga 40 peratus gula.

"Bahkan teh tarik yang saya jual pun tidak mengandungi gula walaupun anda minum rasa manis. Saya bukan guna stevia (gula tanpa kalori)," katanya.

A post shared by Dato' Fazley Yaakob (@fazleyyaakob) on


Katanya lagi, biarpun sudah tidak mengambil gula, dia masih lagi menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

"Walaupun saya tak ambil gula, saya tetap cek kadar gula dalam darah. Setahun sekali wajib buat pemeriksaan kesihatan," katanya.

Menurut Fazley lagi, dia mengakui hanya mampu mengawal cara pemakanan bagi mengekalkan bentuk badan dan berat yang ideal.

"Saya tak ada masa nak ke gimnasium. Lagipun masa yang ada, kalau ke gimnasium, saya tak ada masa dengan anak-anak.

"Jadi biasanya saya akan bermain badminton, boleh bawa anak-anak sekali," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, dia bakal melancarkan produk yang boleh menggantikan gula sebagai pemanis dalam makanan.

Saksikan program Fazley yang pernah ditayangkan di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang!