Pelakon Lia Natalia mendedahkan ingin menamatkan zaman bujang sebelum usianya menjangkau 30 tahun.

Menurut Lia, walaupun sudah tiga tahun bercinta namun akibat kesibukan masing-masing, mereka hanya mampu merancang sahaja.

"Sekarang ini umur saya 27 tahun. Saya target untuk menamatkan zaman bujang sebelum 30 tahun.

"Hubungan kami sudah memasuki tahun ketiga namun yang menghalang adalah masa.

"Teman lelaki saya pun sibuk orangnya, dia orang Tawau juga dan sering ulang alik ke sana.

"Kami hanya merancang namun Tuhan yang menentukannya.

"Insya-Allah kalau ada apa-apa, benda baik buat apa dilambatkan, kenapa perlu disembunyikan.

"Kalau ada berita baik, saya akan kongsi dan beritahu kepada semua orang," katanya kepada Gempak.

Lia ditemui ketika majlis The Flickstore X Lia Natalia di Panggung Asia, Gombak semalam.

Tambah Lia atau nama sebenarnya Alia Afiqah Abden akui hubungan mereka pernah diganggu oleh orang ketiga.

"Biasalah ada ketika hubungan kami diganggu namun itu semua berbalik kepada diri sendiri juga.

"Kami saling mempercayai, itu sahaja yang penting kerana perkara seperti ini sukar untuk dielak," katanya lagi.