Penyanyi Ashanty meluahkan rasa bersyukur kerana sudah beransur sihat meskipun timbul khabar angin yang mengatakan dia sudah meninggal dunia akibat positif COVID-19.

Memetik laporan Kompas, keadaan dirinya semakin baik dan sudah dibenarkan keluar hospital untuk menjalani proses pemulihan di rumah.

“Terima kasih yang sudah menyampaikan berita macam-macam hal tentang saya sampai meninggal dunia, Alhamdulillah Allah masih beri saya kesempatan buat hidup.

“Saya sudah pulang dari hospital, semakin baik. Ketika ini, saya masih dalam proses pemulihan sehingga sihat dengan mengasingkan diri di rumah.

"Tolong jangan perlekeh COVID-19 apatah lagi yang memiliki gejala seperti saya. Buat semua yang terkena dan dalam keadaan sihat, kamu perlu banyak bersyukur, kerana banyak yang masih berjuang melawan sakitnya untuk tetap hidup,” ujarnya.

Ashanty juga mengakui terkilan dituduh jangkitan itu berpunca daripada sikap degilnya untuk terus bekerja sebelum ini.

"Banyak andaian dan berita tidak benar dengan mengatakan saya dijangkiti sebab bekerja. Kalau tidak kerja, bagaimana nak meneruskan kelangsungan hidup?

"Disebabkan bergejala, saya berhati-hati, rajin lakukan pemeriksaan, jaga protokol, tapi masih dijangkiti juga. Hakikatnya, penyakit ini sukar untuk dihindari dan wujud dalam kehidupan seharian kita," katanya.

Pada 15 Februari lalu, ister kepada penyanyi Anang Hermansyah dan anak tirinya, Aurel Hermansyah disahkan positif wabak berkenaan.


Sumber: Kompas dan Harian Metro