Sebuah pusat tarikan pelancongan baharu di Langkawi yang berkonsepkan persekitaran hutan yang dihidupkan dengan kisah Lagenda popular di daerah tersebut, Dream Forest Langkwai bakal dibuka kepada pengunjung bermula Mei depan.

Dibangunkan oleh Enfiniti (M) Sdn. Bhd, Dream Forest bakal menawarkan pengalaman menakjubkan dengan keajaiban teknologi pelbagai deria, unjuran peta, pencahayaan canggih dan skop bunyi yang semenangnya bakal membuat pengunjung merasa terpukau.

Dream Forest menggunakan teknologi tinggi

Presiden dan Ketua Pencipta Impian Kumpulan Enfiniti, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata dia amat berbangga apabila Dream Forest dapat dibangunkan selain bersyukur mempunyai pasukan yang memiliki kepakaran dalam teknologi tinggi.

“Saya amat berbangga apabila dapat membangunkan Dream Forest dan paling membanggakan adalah pasukan teras Dream Forest Langkawi terdiri daripada bakat terbaik dalam dunia kreatif, teknikal dan pembinaan untuk menghidupkan konsep unik ini yang berasal dari Malaysia.

“Dream Forest Langkawi merupakan salah satu projek Group Enfiniti yang diberhentikan disebabkan wabak covid-19.

“Mula dibangunkan pada tahun 2019, projek ini pada asalnya dirangka menggunakan format berbeza dengan pengasingan beberapa kisah yang diceritakan melalui pelbagai medium teknologi di astaka yang berlainan.

“Projek ini dijalankan sebagai sebahagian rancangan untuk membangunkan semula Kampung Buku (Perkampungan Buku) Langkawi. Tambahan, persekitaran perkampungan yang mempersonakan turut membuahkan rancangan bagi pihak kami untuk melakukan persembahan malam di teater luar,” ujarnya.

Bawa pengunjung nikmati hutan lagenda

Pengalaman unik di Dream Forest Langkawi bakal dinikmati pengunjung selepas terbenamnya matahari selain ditambah keadaan persekitaran hutan yang dihidupkan dengan kisah Lagenda seperti Tasik Dayang Bunting, Merong Mahawangsa dan Gergasi Langkawi.

Ditanya mengenai konsep Dream Forest, Tiara menjelaskan ia merupakan satu ruang semulajadi yang dipenuhi dengan pokok ratusan tahun selain ingin pengunjung menghargai alam.

“Setelah meneliti peta tanah yang disewakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), selain daripada 5 ekar tanah yang menempatkan tempat asal Kampung Buku, terdapat 10.8 ekar hutan rimbun yang mengelilinginya.

“Ini membuahkan idea serta-merta untuk menghasilkan tarikan berasaskan alam semula jadi terbuka, dengan hutan hujan berusia lebih ratusan juta tahun sebagai kanvas baharu untuk bercerita.

“Ini sekaligus dapat memberikan pengunjung pengalaman yang selamat dalam ruang semulajadi dan membenarkan penjarakan sosial, sambil meraikan dan menghargai keindahan semula jadi flora dan fauna Malaysia,” tambahnya lagi.

Dream Forest Langkawi akan dibuka dari jam 7 petang hingga 12 tengah malam setiap hari kecuali Rabu.

Bagi maklumat lanjut mengenai Dream Forest Langkawi dan mengetahui harga tiket, layari laman web https://dreamforest.com.my/ .