Laman Utama

Faizal Ismail Kongsi Cara Untuk Tidak Berlebihan Di Hari Raya - "Mendidik Jiwa Untuk..."

gempak
Syafiqah Jalal
23/04/2023
03:41 MYT
Sponsor Banner
Faizal Ismail Kongsi Cara Untuk Tidak Berlebihan Di Hari Raya - "Mendidik Jiwa Untuk..."
Pengacara dan penyampai radio Zayan, Faizal Ismail (FBI) mengambil peluang menyambut kemeriahan Aidilfitri bersama warga Pondok Nurul Hasanah, Bukit Belimbing Kuala Selangor pada Syawal pertama.
Tahun kedua menyambut Hari Raya bersama mereka, Faizal berkata ia satu titik peralihan bermakna dalam hidupnya dan keluarga kerana ia membawa semula kenangan raya semasa kecil.
Namun selepas selesai menyambut raya bersama warga Pondok terdiri daripada sebahagian besar warga emas yang berumur 55 tahun ke atas itu, dia dan keluarga pulang ke kampung halamannya di Seberang Jaya Pulau Pinang.
Pelbagai cerita dan pengalaman yang dikongsikan Faizal termasuk bagaimana cara dia menyambut Syawal dengan kegembiraan tanpa perlu berlebihan.
Ikuti sedikit temu bual Faizal bersama Gempak di bawah:
1. Boleh kongsikan sambutan Hari Raya bersama pelajar-pelajar di sekolah Tahfiz.
Alhamdulillah ini adalah tahun kedua saya beraya bersama warga Pondok Nurul Hasanah, Bukit Belimbing Kuala Selangor. Sebenarnya pelajar-pelajar di pondok ini terdiri daripada sebahagian besar warga emas yang berumur 55 tahun ke atas. Saya ditakdirkan dapat bersama mereka sejak dua tahun yang lalu atas jemputan Mudir pondok iaitu Ustaz Yusri Karim yang mahu saya membantu dan berkhidmat di pondok.
Berhari raya bersama mereka merupakan titik peralihan bermakna dalam hidup saya dan keluarga kerana ia membawa semula kenangan raya semasa kecil iaitu dapat beribadah, solat, takbir bersama-sama dalam suasana kekeluargaan. Ini kerana semua warga pondok secara hariannya melakukan aktiviti secara berjemaah seperti mengaji, pergi kuliah, solat, makan beramai-ramai dan macam-macam lagi. Kami menjadi sangat rapat dan amat mengambil berat antara satu sama lain. Ia sangat indah.
2. Macam mana FBI jalinkan hubungan baik dengan pelajar-pelajar tahfiz itu?
Apabila kita bersama mereka yang lebih berusia dan berpengalaman, ini adalah peluang untuk banyak bertanyakan perkara-perkara tentang kehidupan. Malah kami banyak berkongsi rasa dengan mengimbau liku-liku pahit manis kehidupan. Saya akan sentiasa menyapa dan mendengar apa yang mereka kongsikan di samping menunjukkan empati yang wajar kerana ada di antara mereka yang kesunyian kerana berjauhan dari keluarga atau sudah terputus hubungan dengan ahli keluarga. Saya bersyukur kerana ia merupakan rezeki saya yang tak ternilai yang Allah kurniakan untuk bersama-sama mereka.
3. Bagaimana persiapan raya tahun ini? apakah biasanya yang dilakukan di pagi raya?
Persiapan raya tahun ini adalah sederhana untuk saya dan keluarga. Kesemua ahli keluarga ada rezeki baju raya masing-masing tapi saya dan isteri lebihkan sedikit kepada anak-anak yang sedang membesar. Alhamdulillah. Di pagi raya selepas solat biasanya kami akan terus beraya bersama warga pondok dan kemudian ke rumah ibu bapa masing-masing. Kami juga pulang ke kampung di Seberang Jaya Pulau Pinang untuk beraya bersama ibu saya yang kini dua tahun hidup sendirian tanpa arwah ayah.
4. Boleh kongsikan tips bagaimana untuk tidak berlebih lebihan di hari raya dan dalam masa tidak mengabaikan ibadah dan dekat dengan Tuhan?
Islam mementingkan kesederhanaan dalam kehidupan. Ini sesuai dengan cara hidup Baginda Rasulullah SAW. Ini bukan bermakna tidak boleh memberi barangan baru untuk hari raya kerana memakai baju yang baik juga merupakan sunnah Baginda. Cuma jika terlalu ghairah berbelanja mewah dan berlebihan itu yang kita khuatir akan menjurus kepada pembaziran.
Malah pembaziran itu merupakan amalan syaitan yang sangat dibenci Allah SWT. Bulan Ramadan merupakan bulan terbaik untuk kita berlatih mengekang hawa nafsu. Jika kita betul-betul menghayati Ramadan, maka sebelas bulan yang berikutnya akan dapat kita bawa momentum Ramadan dalam kehidupan.
Selain itu, sediakan check list untuk berbelanja ikut kemampuan. Jika sudah meletakkan sasaran hanya membeli dua pasang baju baru, maka jangan sesekali melanggar sasaran itu. Selain itu, memikirkan nasib mereka yang dalam kesusahan akan mendidik jiwa untuk berkongsi rezeki dan bersedekah. InshaAllah hati kita akan merasai adanya bahagian rezeki kita yang patut kita sediakan untuk orang lain, maka kita akan cuba untuk elakkan pembaziran akibat nafsu yang ingin memiliki dan mengumpul barangan untuk diri sendiri. Wallahu’alam.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live