Penyanyi Black Hanifah mendedahkan tuduhan kononnya memiliki kapal mewah hasil 'cuci duit' atau menggubah wang haram memberi kesan mendalam kepada kehidupannya.

Menurut Black, meskipun tuduhan itu tidak menyebabkannya mengalami kerugian dalam perniagaan, namun dia telah kehilangan kepercayaan oleh orang terdekat.

"Kesan daripada tuduhan jahat ini mahal. Saya tidak mengalami kerugian dalam perniagaan kerana isu ini.

"Cuma saya kehilangan kepercayaan oleh orang terdekat seperti keluarga & rakan rakan.

"Dari seorang yang mereka sangkakan saya transparent & jujur, terpaksalah menghabiskan minggu ini dengan menjawab beratus panggilan telefon, beribu mesej whatsapp hanya untuk menjelaskan perkara sebenar," luahnya.

Penyanyi lagu Hanyut itu berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram miliknya.

Menerusi hantaran berkenaan dia memuat naik video tentang sedikit sedutan penjelasannya yang turut dimuat naik di laman Telegram.

Katanya, disebabkan fitnah berkenaan dia berhadapan dengan vanyak masalah termasuk masalah kesihatan mental.

"Disebabkan fitnah itu, banyak masalah yang berlaku termasuk saya mengalami anxiety yang teruk sehingga saya terpaksa berjumpa dengan doktor pakar.

"Memang benar saya ada villa dan yatch di Langkawi...Sebenarny Melayu je suka tengok orang Melayu jatuh...tak semua tapi segelintir," katanya dalam video berkenaan.

Difahamkan penjelasan penuh itu dimuat naik di aplikasi Telegram khas buat peminat mengenalinya lebih dekat.

"Full video di Telegram channel. Link disedikan di Bio. To all my fans, ini adalah proses untuk kenal Black dengan lebih rapat," ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang mendakwa pelantun lagu Teman Pengganti itu memiliki sebuah kapal mewah di Pulau Langkawi.

Dakwaan tersebut turut mempersoalkan kemampuan Black untuk membeli aset itu sehingga tercetus spekulasi dia terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram.

A post shared by Hanifah Black (@black.hanifah)