VIRAL
Gara-Gara Terlalu Percaya ChatGPT, Pempengaruh Terkandas Di Lapangan Terbang
Pasangan pempengaruh Sepanyol terkandas di lapangan terbang selepas menerima maklumat salah daripada ChatGPT mengenai keperluan visa untuk ke Puerto Rico bagi menonton konsert artis terkenal, Bad Bunny.
Menerusi video tular, Mery Caldass kelihatan menangis sambil dipujuk teman lelakinya, Alejandro Cid, ketika mereka terkandas di lapangan terbang.
“Selalunya saya buat banyak kajian, tapi kali ini saya tanya ChatGPT dan ia kata tak perlu,” jelas Caldass, merujuk kepada visa, namun tidak dimaklumkan bahawa mereka memerlukan ESTA (Electronic System for Travel Authorisation).
Selepas tiba di lapangan terbang, kakitangan syarikat penerbangan memaklumkan mereka tidak boleh menaiki pesawat tanpa ESTA.
“Saya dah tak percaya lagi, kadang-kadang saya marah dia [ChatGPT].
"Saya kata kau tak guna, tapi bagi maklumat betul la. Mungkin dia berdendam dengan saya,” tambah Caldass sambil menuduh ChatGPT seolah-olah berdendam dengannya.
Insiden itu bukan kes pertama orang awam menerima akibat buruk selepas bergantung pada nasihat chatbot AI.
Dalam laporan jurnal American College of Physicians, seorang lelaki berusia 60 tahun dimasukkan ke hospital selepas mengikuti saranan ChatGPT untuk menggantikan garam (sodium chloride) dalam dietnya.
Lelaki itu menggantikannya dengan sodium bromide yang dibeli dari internet, bahan yang pernah digunakan dalam ubat-ubatan pada awal 1900-an tetapi kini diketahui berbahaya jika diambil dalam jumlah besar.
Doktor mengesahkan lelaki itu mengalami bromisme selepas menelan bahan tersebut.
Laporan menyatakan, maklumat yang diperoleh lelaki itu adalah salah tafsir, kerana pertukaran chloride kepada bromide biasanya merujuk kepada tujuan lain seperti bahan pembersihan, bukannya makanan.
Must-Watch Video