Laman Utama
“Gementar Belum Lagi, Mungkin…”- Debaran Menjadi Suri Hati Remy Ishak, Ezza Minta Urusannnya Dipermudahkan
Menghitung waktu untuk diijabkabulkan dengan hero Malaya, Remy Ishak esok gadis bertuah, Ezza Yusof berkongsi perasaannya yang dikatakan berbaur.
Menurut Ezza yang juga merupakan pengasas kasut jenama 2morrow itu debaran untuk diijabkabulkan belum terasa sebelum tibanya hari bersejarah tersebut.
“Macam tiada perasaan. Gementar belum rasa lagi…Mungkin esok baru terasa,” kongsinya kepada Astro Gempak.
Ezza dihubungi Astro Gempak menerusi aplikasi WhatsApp mengenai debarannya menjadi raja sehari.
Pasangan itu difahamkan bakal melangsungkan majlis pernikahan di sebuah lokasi di ibu negara. Pernikahan sederhana itu hanya akan dihadiri oleh pengantin lelaki, Remy, Ezza dan wali yang merupakan abangnya pada hari bersejarah tersebut.
Tidak berniat mengulas lanjut mengenai pernikahannya esok, Ezza hanya meminta agar segala urusannya dipermudahkan.
“Saya cuma minta doakan segala urusan dipermudahkan sahaja esok,” pintanya.
Semalam, secara eksklusif kepada Gempak TV, Remy mengumumkan bahawa dia bakal melangsungkan perkahwinannya esok iaitu 21 Ogos.
Menerusi temu bual itu, Remy berkongsi perasaannya serta perancangan pernikahan yang sepatutnya berlangsung Mei lalu tertunda kerana pandemik COVID 19.
Program Gempak TV itu disiarkan menerusi saluran 104, Astro Ria malam semalam.
Must-Watch Video