EDUCATION | PENDIDIKAN
#GempakSpot: Anxiety - Penyakit Pura-Pura Atau Serius
Tengok sekali pandang memang nampak seperti manusia biasa, sihat normal, tiada masalah apa. Anxiety bukan penyakit luaran tetapi dalaman. Tiada luka untuk di balut, tiada ubat untuk di sapu, tiada parut untuk di sorok.
2016, April. Seperti biasa aku bertugas outstation di Sibu Sarawak. Perjalan menaiki kapal terbang seperti biasa, sampai di airport sempat cucuh sebatang dua rokok. Ya, aku perokok tegar. Hari pertama di Sibu, aktiviti aku berjalan seperti biasa, bertugas dan pulang ke hotel.
Hari kedua mulalah perjalanan suram hidup aku,Pagi tu dada aku dihimpit kuat, susah nak bernafas, badan berpeluh, seperti asma, tapi sepanjang hidup aku aku tak pernah mengidap asma ataupun lelah apatah lagi sakit jantung.
Terus dikejarkan ke hospital berdekatan, pemeriksaan ECG, kadar oksigen, BP semuanya normal. Kerana aku tiada rekod di situ, doktor menggangap aku asma dan di berikan nebolizer. Selepas itu aku pulang berehat di hotel.
Yang menghairankan, aku tak lagi semput, rasa normal, cuma rasa kepenatan. Esok aku terus pulang ke KL. Aku nekad nak buat pemeriksaan lanjut dengan pakar. Hospital paling dekat rumah aku masa tu DEMC (sekarang Avisena).
Seminggu lepas aku pulang dari Sibu, badan aku masih tak okay, hati aku sentiasa rasa resah, badan pula rasa melayang, rasa tak stabil. Aku pergi ke hospital DEMC, aku jumpa MO kat emergency, aku cerita apa yang jadi pada aku. Aku bagitau sebelum ni aku hanya ada rekod gastrik.
Lepas puas hati dengan penerangan aku, Doktor terus admit kan aku dengan merujuk kepada tiga Pakar - Pakar Gastro, Pakar Jantung dan Pakar Otak. Mulalah episod hari pertama, aku buat endoscopy (masuk kamera melalui mulut untuk tengok keadaan usus perut). Hari kedua buat CT scan jantung dan hari ketiga buat CT scan otak. Apa yang mengejutkan daripada result tu ialah aku normal! Ya, keputusan normal!
Dugaan aku tak tamat di situ, keputusan doktor bukan ubat untuk aku, keadaan aku makin teruk, tanpa tahu punca sakit, aku jadi sedikit kemurungan aku jadi takut. Hari-hari fikir kematian, aku jadi menyendiri.
Dan mula la episod ngeri aku. Aku mula mimpi ngeri! Ya, mimpi jatuh dari tempat tinggi, mimpi jumpa ular bisa mimpi macam-macam, aku mampu tidur 2 jam saja waktu tu. Atas nasihat orang terdekat, aku mula berjumpa pengamal perubatan tradisional.
Macam-macam ustaz aku jumpa, cuma aku takkan percaya kepada bomoh atau benda syirik dan khurafat. Kehidupan aku masa tu di habiskan dengan berulang alik ke tempat perubatan tradisional. Macam-macam cerita yang aku dengar keluar dari ustaz tersebut, cuma nak tak nak percaya je.
Ya Allah, masa tu aku rasa betapa besar ujian aku. Aku mula dekatkan diri kepada Allah, zikir, berdoa dalam masa sama aku amalkan apa yang dipesan ustaz-ustaz tersebut. Hampir 3 bulan aku berubat tradisional tapi tiada kesan malah kadang-kadang makin kuat aku di serang.
Bila maghrib aku mula panik, seram sejuk, kadang-kadang rasa badan panas, periksa suhu badan normal. Semangat aku mula luntur balik. Aku mula patah balik jumpa doktor pakar. Kali ni aku jumpa pula Pakar Paru-Paru. Buat x-ray normal. Lepas tu barulah doktor tersebut dapat buat rumusan mngenai sakit aku. "Anxiety Disorder with Panic Attack, OCD, Vertigo, GERD”. Cukup resepi penyakit jiwa.
AKU BUKAN GILA
Aku tak malu untuk mengatakan aku pernah di rujuk ke Pakar Psikatri di PPUM. Atas nekad untuk sembuh aku pergi beberapa sesi rawatan psikatri. Namun masih tiada perubahan hampir 5 bulan aku masih mncari-cari apa yang tak kena dengan diri aku.
Akhirnya aku nekad, ambil cuti tanpa gaji selama sebulan dan fokus kepada penyakit aku. Dalam masa sebulan yang aku ada, aku nekad nak lawan penyakit ni, aku tau setiap penyakit ada ubatnya. Aku dah tak larat nak jadi "mayat hidup".
Hidup aku masih panjang. Aku teruskan perubatan aku di pusat rawatan Islam dan pada masa sama aku pergi semula ke DEMC mencari doktor pakar. Doktor-doktor pakar di situ geleng kepala tengok aku, apa taknya 4 doktor pakar dah rawat. Tapi aku abaikan semua tu aku buat tebal muka, aku jumpa pula Pakar ENT dan Pakar Saraf.
Keputusan masih sama. Dalam pada itu aku mula kaji melalui internet pasal sakit aku ni, aku akhirnya dipertemukan dengan group Anxiety Malaysia. Rupanya aku bukan keseorangan. Jadi aku mula belajar mengenai penyakit aku ni. Dalam masa yang sama, Allah permudahkan urusan aku.
Mungkin kerana aku tak putus asa, aku pergi lagi ke DEMC. Kebetulan masa tu aku cirit birit. Aku minta warded. Aku diletakkan di bawah seorang Doktor Pakar Gastro, Dr Aizan. Di sinilah aku nampak harapan aku semula. Hanya dengan seorang doktor, dia boleh mengubat semua sakit yang aku rasai. Punca otak.
OTAK AKU MENIPU
selama ini rupanya otak aku menipu aku. Puas aku cari penawar untuk sakit aku. Rupa-rupanya penawar tu aku junjung di kepala setiap hari tanpa aku sedar. Otak aku mengawal sakit aku selama ini. Bila dia nak kata sakit aku akan sakit tempat yang dia bayangkan.
Dan bila dia kata stop, sakit tu terus hilang. Bayangkan macamana otak aku menipu bila aku digigit nyamuk, terus otak kata aku akan kena denggi, bila aku batuk terus otak aku kata aku ada Tibi, bila aku sakit kepala sikit terus otak aku kata aku ada kanser otak, bila aku sakit perut otak akan kata kanser usus.
Sedikit je anggota badan aku sakit, otak aku terus hantar signal Emergency. Terus bagi warning bahaya. Masa tulah Anxiety akan datang seperti batu api. Ubatnya? Ubatnya aku hanya perlu berdiri depan hospital. Ya, itulah tempat ketenangan.
Tanyalah siapa-siapa, kalau pergi ke mana-mana, hospital lah yang aku cari dulu kalau-kalau ada emergency. Ubat ubatan? Kawan semua tahu kalau aku ke mana-mana aku akan bawa satu beg yang cukup kelengkapan ubat seperti sebuah farmasi. Tapi tulah, anxiety ni sifat berjaga-jaga cukup tinggi walhal ubat tu takkan di gunakan pun.
PUNCA ANXIETY?
aku tak pasti punca orang lain daripada apa, tapi apa yang dapat aku simpulkan bagi diri aku, pertama, punca dari perut. Aku akui aku kurang ambil berat tentang pemakanan. Usus yang tak sihat akan hantar signal yg tak baik ke otak. Memang betul segala penyakit bermula dari perut.
Punca kedua, Iman. Dulu aku mungkin sedikit alpa, maklumlah tengah darah muda, bila iman tak kuat, mudah dengar hasutan,dan akhirnya kecundang dengan diri sendiri. Punca lain yang buat makin parah ialah sikap ingin tahu di Google.
Aku nasihatkan kepada yang baru terkena Anxiety jangan sesekali google. Itu pantang larang. Google buatkan otak kita menipu dengan lebih teruk. OCD, itu juga antara punca aku anxiety, aku bukannya ingin benda tu perfect tapi ada nafsu yg buat aku tak puas hati.
Aku ambil contoh gosok baju. Aku boleh ambil masa sejam untuk gosok baju kemeja, lepas sejam aku masih nampk sejalur kedut di baju tu, masa tu jiwa aku akan memberontak sendiri dan membentak dari dalam.
DAH SEMBUH KE SEKARANG?
Seperti aku katakan, Anxiety ni bukan penyakit luka, takkan nampak dan tahu dia sembuh atau tidak. Bagi aku, aku pun tak kata aku dah sembuh, tapi aku cuba kawal. Macamana aku kawal? Aku "let it go". Pasrah, biarkan, abaikan. Itu je buat aku gembira.
Ubat dan supplement sudah tentu. Bagi orang yang sakit dalaman macam ni, ubat terbaik adalah supplement. Kenal pasti apa yang kurang dalam tubuh. Boleh ambil vitamin C, B complex, probiotik atau minyak zaitun, kurma, badam. Aku juga masih ambil ubat tidur, Tidur tu boleh kurangkan segala bebanan dalam badan.
Dah panjang aku cerita ni. Nanti ada masa aku sambung lagi.
#PenghidapAnxietyPanickAttackOCDVertigo
Kredit Gambar: Abroar Sidek
Kisah ini dikongsi oleh Abroar Sidek di Facebook beliau dan mendapat hampir 4,000 shares. Beberapa perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]
Must-Watch Video