VIRAL
Ibu Arwah Zulfarhan Tuntut Hukuman Gantung Kekal - "8 Tahun Kami Sengsara!"
Ibu kepada Allahyarham Zulfarhan Zulkarnain meluahkan dia masih mahu menuntut keadilan buat anak sulungnya selepas lapan tahun tragedi menyayat hati itu berlaku.
Menerusi temubual Mingguan Wanita, Hawa mendoakan agar keenam-enam tertuduh yang membunuh anaknya itu ke tali gantung dalam setiap sujudnya.
"Cukuplah! Kami dah cukup menderita. Biarlah nyawa dibalas nyawa!
"Siapa yang seterika kemaluan anak saya?” katanya.
Menurutnya, perkara paling sukar untuk diterima adalah penderitaan yang dialami Zulfarhan sebelum menghembuskan nafas terakhir.
"Kalau disepak pun sakit, apatah lagi kena seterika di kemaluan. Itu perbuatan paling tak masuk akal,” jelasnya.
Walaupun ada yang berpendapat tempoh lapan tahun itu sudah cukup lama, namun luka di hati mereka sekeluarga masih berdarah.
Tak Mampu Memaafkan
Hawa juga mendedahkan ada dua keluarga tertuduh datang bertemu dengannya untuk meminta maaf. Bagi Hawa, hukuman mati adalah keadilan yang sepatutnya ditegakkan.
"Mereka minta saya lupakan semuanya. Tapi macam mana saya nak maafkan bila anak mereka sendiri tak pernah ucap maaf? Saya sentiasa maafkan orang dalam doa, tapi untuk enam tertuduh ini... berat.
"Bayangkan 90 tekapan seterika di seluruh badan termasuk kemaluan. Kejam! Saya tak boleh maafkan mereka. Biarlah nyawa dibalas nyawa,” ulasnya.
Bapa Tangguh Pembedahan Demi Keadilan
Pada masa sama, ibu kepada Arwah Zulfarhan itu turut berkongsi pengorbanan suaminya yang sanggup menangguhkan pembedahan jantung semata-mata untuk mengikuti kes perbicaraan anak mereka di mahkamah.
"Suami saya ada saluran jantung tersumbat, patutnya perlu dibedah segera. Tapi dia tak nak. Katanya, dia tak sanggup kalau tak dapat dengar sendiri keputusan mahkamah nanti," kongsinya.
Impian Ke Tanah Suci Tak Kesampaian
Selain itu, Hawa juga berkongsi perancangan mereka sekeluarga untuk menunaikan haji pada tahun 2026, hasil pendaftaran yang dibuat oleh arwah sendiri.
"Along bersungguh-sungguh nak kami sekeluarga ke Tanah Suci. Tapi semuanya musnah kerana enam manusia ini. Impiannya tak tertunai!," katanya.
Lebih memilukan, kematian Zulfarhan turut memberi kesan besar kepada adik-adiknya, yang merasakan kehilangan itu telah meruntuhkan semangat mereka, malah ada yang hilang motivasi untuk meneruskan pelajaran kerana ingin membantu keluarga.
BERITA BERKAITAN: Kes bunuh Zulfarhan: Mahkamah Rayuan Terkhilaf Jatuhkan Hukuman Gantung – Peguam
BERITA BERKAITAN: "Saya Sangka Kes Arwah Anak Yang Terakhir, Ia Masih Berulang" - Bapa Arwah Zulfarhan
BERITA BERKAITAN: Zubir Khan Janji Jumpa Keluarga Zulfarhan Dalam Masa Terdekat - "Sebenarnya Saya Takut Saya Terlalu Sedih Nanti..."
BERITA BERKAITAN: Dah Terlambat Nak Mohon Maaf, Ibu Bapa Zulfarhan Enggan Jumpa Keluarga Tertuduh – “Cukuplah…Kenapa Tunggu Sekarang?”
"Ada antara mereka dah hilang semangat nak sambung belajar sebab nak bantu keluarga," ujarnya.
Peguam Pertahan Tertuduh
Terdahulu, peguam yang mewakili keenam-enam tertuduh membantah hukuman mati serta mendakwa kes ini dicemari oleh keterangan saksi yang 'dibimbing' oleh seorang pegawai kanan tentera, Mejar Zarizal.
Mereka berpendapat keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman mati adalah satu kegagalan dalam sistem keadilan.
Sumber: Mingguan Wanita
Must-Watch Video