Laman Utama

Ibu Bapa Ini Kembara Dunia Sebelum 3 Anaknya Buta: “Kami Tidak Mahu Mereka Kenal Gajah Hanya Dari Buku”

gempak
Maliah Surip
15/09/2022
14:20 MYT
Sponsor Banner
Ibu Bapa Ini Kembara Dunia Sebelum 3 Anaknya Buta: “Kami Tidak Mahu Mereka Kenal Gajah Hanya Dari Buku”
Selagi ada ibu dan bapa sayangi dan hargailah mereka, kerana tidak ada orang yang akan melakukan pengorbanan lebih besar daripada keluarga sendiri.
Mungkin itulah kata kata yang tepat untuk digambarkan kepada pasangan dari Kanada, Edith Lemay dan Sebastien Pelletier yang melakukan pengorbanan besar namun penuh bermakna buat tiga anak mereka.
Tiga anak mereka, dengan yang pertama, Mia, telah didiagnos mengalami masalah gangguan penglihatan yang dikenali sebagai retinitis pigmentosa, satu penyakit genetik yang sangat jarang berlaku sehingga boleh menyebabkan seseorang menjadi buta.
Selepas Mia, pasangan yang telah berkahwin selama 12 tahun ini menyedari dua lagi anak mereka iaitu Colin, 7, dan Laurent, 5, juga mengalami masalah yang sama.
Hanya seorang anak mereka, Leo yang kini berusia sembilan tahun tidak mengalami masalah penglihatan.
“Tak banyak yang kami boleh lakukan kerana tidak tahu berapa cepat mereka akan kehilangan penglihatan. Tapi kami percaya mereka mungkin akan buta pada usia yang masih muda,” ujar pasangan tersebut seperti dilaporkan CNN.
Demi sayangkan anak, pasangan ini memutuskan untuk mengembara ke seluruh dunia sebelum penglihatan tiga permata hati mereka benar benar hilang.
Mereka menyusun rencana mengembara, namun banyak yang tergendala kerana pandemik COVID 19.
“Kami tidak mahu anak hanya melihat haiwan seperti gajah hanya di buku. Kami mahu mereka melihat gajah yang sebenar.
“Kami memulakan kembara di Rusia sebelum ke China pada 2020. Namun kerana pandemik banyak yang tertangguh,” kata pasangan ini.
Namun itu tidak menghalang mereka untuk menjejakkan kaki ke beberapa negara lain termasuk Zambia dan Tanzania sebelum menghabiskan masa selama sebulan di Turkiye dan pergi ke Mongolia.
“Kami juga ke Afrika dan akhirnya anak anak dapat melihat sendiri keindahan alam serta haiwan yang ada di muka bumi ini sebelum semuanya menjadi kabur dan tidak dapat lagi dilihat dengan mata,” kata pasangan ini lagi.
Tidak mahu berputus asa, mereka berharap pada satu masa dengan kemajuan teknologi dan sains, penyakit tiga anak kesayangan mereka dapat dipulihkan.
Kredit Foto: CNN
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live