Wanita yang terpalit dengan isu ajaran sesat, Wan Norhayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai Ibu Yati didakwa di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam semalam.

Ibu Yati didakwa selepas ditahan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama tiga individu lain termasuk dua lelaki di sebuah premis di Hulu Langat sekitar pukul 11.20 malam kelmarin.

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad, pihaknya telah melaksanakan tiga waran tangkap terhadap tiga individu yang disyaki serta satu waran geledah.

Menurut beliau, JAIS telah menahan empat individu yang terdiri daripada dua lelaki dan wanita. Mereka telah dibawa ke ibu pejabat untuk disiasat mengikut Seksyen 7, 9 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

"Kes telah dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah dan mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 kepada dua wanita dengan jaminan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 48.

“Bagi tertuduh lelaki pula, seorang daripadanya diikat jamin dengan RM1,000 dengan penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 41 manakala seorang lagi dilepaskan dengan bon jamin penguat kuasa.

“Tiga daripada tertuduh perlu diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak dua minggu sekali,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd. Shahzihan juga berkata, penangkapan empat individu itu dapat menyelesaikan kes melibatkan perbuatan beberapa individu di Selangor yang disyaki melanggar ketetapan hukum syarak dan fatwa Islam.

“Selain itu, kes tersebut turut melibatkan penghinaan kepada al-Quran dan hadis, serta mempersenda, menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 28 Julai hadapan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam,” katanya lagi.

Sumber & Kredit Foto: Utusan Online