Susulan aduan yang tular di media sosial bertajuk “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak biadab menjawablah kau kat KKM” pada 10 Januari lalu, Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah mengenal pasti pegawai farmasi terlibat.

Pengarahnya, Dr. Rohana Johan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang.

Katanya, pihak HKL akan mengambil tindakan untuk penambahbaikan perkhidmatan di semua kaunter perkhidmatan yang disediakan.

Dalam pada itu Rohana berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kekeliruan antara pengadu dengan pegawai yang bertugas.

“Perkhidmatan MyUbat tidak dapat dilaksanakan bagi ubat tertentu berikutan kekangan stok bekalan yang terhad.

"Justeru itu, bagi melaksanakan aplikasi MyUbat dan penghantaran melalui pos memerlukan pembungkusan dua minggu lebih awal daripada tarikh pesakit menerima ubat tersebut.

"Perkhidmatan itu akan dapat dilaksanakan seperti biasa apabila stok bekalan ubat kembali normal," katanya dalam sebuah kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin lalu, seorang pesakit mendakwa pegawai farmasi di HKL telah memintanya untuk mengambil sendiri ubat di kaunter setiap dua minggu hingga Julai, kerana perkhidmatan penghantaran ubat secara pos atau MyUbat tidak boleh digunakan.

Pesakit berkenaan kemudian cuba meminta penjelasan lanjut selain bertanya cara lain yang boleh digunakan namun, pegawai berkenaan membalas dengan jawapan 'not my problem' sebelum beredar menyebabkan pesakit tersebut melaporkan perkara itu kepada KKM untuk tindakan lanjut.