Kemelut isu fahaman Islam yang dikatakan sesat oleh seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Ibu Yati masih belum berakhir.

Ini kerana Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan menganggap ajaran tersebut sebagai salah dan boleh merosakkan akidah jika diamalkan.

Nasrudin membuat kenyataan tersebut menerusi sebuah video yang dimuat naik di posting Instagram sebuah akhbar tempatan.

Menurut Nasrudin, dia sudah meneliti beberapa kenyataan dikeluarkan Ibu Yati terutama di Facebook miliknya.

“Apabila sampai kepada saya dan ada beberapa aduan daripada orang ramai yang meminta pandangan daripada Yadim.

“Jadi apabila saya merujuk Facebook Ibu Yati, melihat tulisan-tulisannya saya rasa ada tiga perkara yang saya boleh katakan,” katanya.

Menurutnya, yang pertama adalah betapa mencabar dan sukarnya lepas ini para pendakwah menangani situasi dan fahaman seperti ini.

“Kedua ajaran seperti ini salah dan jika ia dilaksanakan dan amalkan boleh rosakkan akidah.

“Ketiga saya nasihat orang ramai jangan terpengaruh dengan ajaran seperti ini.

“Apa jua ritual agama sebaran rujuk kepada pihak jabatan agama atau mufti,” katanya.

Jelasnya, kesan besar bila ia dibiarkan berlarutan terutama bagi mereka yang kurang ilmu dan pengetahuan mendalam tentang agama Islam.

“Sebab awalnya banyak penggunaan Allah yang satu seolah-olah agama yang benar tetapi hakikatnya banyak yang memesongkan,” katanya.

Untuk rekod, pengguna Facebook dikenali sebagai Ibu Yati menjadi perbualan ramai apabila wanita itu dipercayai melafazkan iLa Ha iLa Ra iLa Ma dan aku Melayu sebanyak tujuh kali sebelum kemudiannya membuat paluan gong dalam sebuah upacara.

Video tersebut kemudian viral dan didakwa sebagai ajaran sesat terbaharu di negara ini.

Walaubagaimanapun, Ibu Yati menafikan perkara itu dan menyifatkan ia tuduhan jahat dan dikatakan telah membuat laporan polis.

BACA: Dikaitkan Dengan Fahaman Islam Melayu, Polis Akhirnya Buka Siasatan Terhadap Ibu Yati!