Penyanyi Shila Amzah akui teruja untuk beraksi di konsert pertama Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada malam ini.

Shila atau nama lengkapnya Nushahila Amir Amzah, 32, berkata keyakinannya itu tinggi untuk menampilkan sesuatu yang berbeza dalam lagu yang biasa didengar.

“Sejujurnya saya sangat teruja kerana pada minggu pertama ini saya dapat nyanyi lagu sendiri.

“Tapi apa yang saya boleh tampilkan nanti adalah lagu yang sama atau selalu didengari tapi dengar dalam bunyi yang lebih matang.

“Saya sendiri rasa malu bila dengar kembali rakaman asal lagu-lagu nyanyian saya pada 10 hingga 12 tahun lepas. Suara ketika itu terasa terlalu kecil dan mungkin belum developed lagi,” katanya kepada Astro Gempak.

Penyanyi Patah Seribu itu ditemui media pada majlis santai bersama Liza Hanim dan Shila Amzah sempena meraikan kemenangan di Anugerah Industri Muzik yang ke-23 (AIM23) di sebuah restoran pada Rabu.

Apabila ditanya bagaimana perasaannya hendak bersaing dengan 12 peserta lain yang terdiri daripada nama-nama besar di GV9 nanti, Shila akui tidak gusar.

“Kadang-kadang bunyi seperti riyak bila saya kata tiada masalah langsung untuk bersaing dengan mereka.

“Tapi beginilah, saya lebih suka fikir untuk diri saya sendiri dahulu sebelum memikirkan kehebatan orang lain.

“Dalam apa-apa pertandingan sekalipun saya akan lebih fokus pada diri saya sendiri, kalau hendak fikirkan kelebihan orang lain ada akan jadi hilang fokus.

“Apa yang penting kita kena mengenali dan fokus pada kelebihan yang kita ada dahulu, tak perlu hendak bersaing untuk berlawan dengan kelebihan orang lain,” ujarnya.

Sementara itu, Liza yang merupakan naib juara GV4, sempat berkongsi beberapa tip buat Shila supaya bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.

“Sertai GV ini akan ada satu tekanan lebih-lebih lagi saya faham Shila juga seperti saya yang sentiasa cuba hendak beri yang terbaik bukan sahaja untuk menang tapi mahu beri impak pada penonton itu.

“Pastikan apa yang kita persembahkan itu biar segar, sebab peserta musim kali ini setiap orang kita dah tahu kelebihan masing-masing tapi untuk nampak kelainan, berikan kejutan pada juri dan penonton.

“Apa-apa pun saya boleh cakap dalam masa yang sama cuba untuk enjoy,” kongsinya.

Selain Shila, calon peserta wanita solo yang berjaya melepasi sesi uji bakat ialah Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan dan Tom manakala peserta lelaki yang berani menyahut cabaran ialah Tomok, Asheed, Bob Yusof, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Roy Kapilla serta kumpulan VE yang terdiri daripada Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.

Barisan juri tetap terdiri daripada maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.

Edisi kali ini masih mengekalkan Nabil Ahmad sebagai pengacara, manakala tempat Jihan Muse diambil alih penyanyi dan pelakon popular, Elly Mazlein.

GV9 akan berlangsung selama sepuluh (10) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 18 September, setiap Ahad, jam 9.00 malam, ditayangkan eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.

Dapatkan Pek Premium 1 Astro hanya RM99.99 sebulan untuk enam bulan pertama secara online di astro.com.my untuk menikmati rancangan realiti ini di Astro.