Pelakon berbakat Amyza Aznan bersyukur atas rezeki yang diberikan untuk meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2019.

Selepas lebih 20 tahun melibatkan diri dalam bidang seni, Amyza menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai sesuatu yang sangat manis untuk dirinya.

"Alhamdulillah, saya rasa gembira. Perasan itu tidak tergambar. Terbit sedikit rasa sebak kerana mengenangkan perjalanan lebih 20 tahun dalam bidang lakonan.

"Pelbagai watak saya sudah lunaskan, karakter serius, kelakar, air mata dan macam-macam lagi. Terbit juga dalam fikiran, nama saya sering sangkut di Top 5 tapi tak pernah menang.

"Akhirnya, saya berpeluang merasai detik manis ini. Alhamdulillah, syukur kepada Allah," katanya kepada Gempak.

Meraih anugerah menerusi lakonannya dalam telefilem Batik Zakiah, Amyza mengakui pernah rasa berputus asa.

"Awal bulan lalu, rasa itu timbul. Saya rasa bosan. Saya terfikir adakah pengorbanan saya untuk mencurah keringat dalam dunia seni ini berbaloi?

"Setiap kali saya rasa mahu berputus asa, saya sabar dan teruskan perjalanan kerana mengenangkan minat.

"Saya berlakon kerana ini adalah kerjaya saya, bukan kerana nama. Akhirnya, saya dapat apa yang saya impikan," katanya.