Kehadiran Orang Ketiga Punca Kes Cerai Di Kedah Meningkat
Kehadiran dan campur tangan orang ketiga menjadi antara punca berlaku peningkatan sehingga 23 peratus jumlah kes cerai dalam kalangan pasangan beragama Islam di negeri Kedah, tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, sebanyak 3,245 kes cerai direkod tahun lalu, berbanding 2,586 pada 2021.
"Antara puncanya adalah faktor kewangan, tidak bertanggungjawab, kurang ilmu mengenai peranan suami dan isteri, tidak kuat pegangan agama, kehadiran dan campur tangan orang ketiga.
"Sebagai usaha membantu pasangan ini, kita mewujudkan Program Raikan Cinta khusus kepada pasangan yang menghadapi krisis rumah tangga bertujuan mengeratkan semula tautan kasih sayang antara suami dan isteri," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam..
Halimaton yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam berkata, program itu didapati dapat memberi pendedahan kepada pasangan mengenai ilmu perkahwinan, keagamaan dan tanggungjawab yang perlu dipikul pasangan.
"Program Raikan Cinta ini juga sudah dilaksana dua kali dan akan diteruskan berikutan sambutan diterima adalah tinggi.
"Ini menunjukkan matlamat program ini tercapai dalam membantu pasangan membina keluarga sakinah, warahmah dan mawaddah.
"Pada masa sama, Pejabat Pembangunan Wanita Kedah sentiasa mengadakan program advokasi bagi meningkatkan pengetahuan wanita berkenaan hak pembelaan dalam undang-undang," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam juga menawarkan khidmat nasihat, sesi kaunseling dan motivasi untuk membantu wanita yang terkesan akibat masalah penceraian.
Sumber - Harian Metro