Kerajaan akan menanggung kos kuarantin termasuk makan, minum dan pengangkutan dari lapangan terbang bagi jemaah umrah yang pulang dari Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, bagi penempatan kuarantin yang diurus kerajaan, individu bawah pengawasan (PUS) iaitu jemaah yang negatif ujian saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan ditempatkan di hotel atau Pusat Latihan Awam bergantung ketersediaan bilik pada hari ketibaan.

Katanya, kerajaan memahami ramai jemaah yang bimbang mengenai kos tambahan selain isu membabitkan keselesaan ketika menjalani kuarantin, justeru memberi mereka pilihan.

“Jemaah umrah mempunyai pilihan sama ada berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta atau stesen kuarantin yang diuruskan kerajaan.

“Tempoh kuarantin adalah seperti yang ditetapkan KKM,” katanya dalam sebuah kenyataan pada Selasa.

Terdahulu tular di laman sosial sekumpulan jemaah baru pulang mengerjakan umrah ‘mengamuk’ dan tidak berpuas hati kerana terpaksa menanggung sendiri kos kuarantin di hotel yang ditetapkan kerajaan.