Selebriti popular seperti Neelofa, Datuk Hans Isaac, Nora Danish, Datuk Afdlin Shauki, Maya Karin, Joe Flizzow, Awal Ashaari dan Scha Alyahya bersatu hati menerusi kempen 'Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu'.

Pengacara rancangan MeleTOP, Neelofa berpandangan komen budak sekolah di media sosial sangat melampau dan perlu dibendung agar tidak menjadi masyarakat tidak berbudi bahasa.

"Sekelompok masyarakat bertindak menggunakan media sosial untuk menghentam, mengkritik, menjatuhkan dan menghukum orang lain tapi cara mereka memberi nasihat adalah salah yang boleh memberi impak tidak baik pada kehidupan seseorang," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen 'Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu' di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, golongan sebegini ini juga tidak sedar mereka adalah pembuli siber.

"Mereka juga boleh menjadi sangat kurang ajar, melampau dan semakin hari semakin lantang dalam memberi pendapat dengan menggunakan kata-kata kasar, kesat, suka mencetuskan provokasi dan tidak memikirkan sensitiviti seseorang.

"Ini semua tidak menggambarkan ciri-ciri rakyat Malaysia yang kita banggakan selama ini yang dikatakan orang kita bersopan santun, berhemah tinggi dan kaya dengan budi bahasa," katanya.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Radio, Datuk Jake Abdullah dan Naib Presiden, Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.



Hans pula berkata, kempen ini bukan hanya untuk artis tapi untuk semua masyarakat agar tidak menjadi mangsa buli siber.

"Kalau kita tak letak artis, mungkin kempen ini hanya berlalu saja dan diharap ia memberi impak besar pada kempen ini.

"Saya sendiri pernah menjadi mangsa buli sehingga menjejaskan reputasi sebagai artis selama 20 tahun.

"Komen negatif dalam cara positif saya boleh terima tetapi jika anda juga rasa dibuli, anda patut laporkan pada pihak berkuasa," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak