Laman Utama
Kes Belum Selesai, Puteri Sarah & Syamsul Diminta Mengesahkan Status Lafaz Cerai
Nampaknya kemelut rumah tangga pengarah, Syamsul Yusof, 39, dan isteri pertama, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, terus berpanjangan apabila Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan memutuskan 14 Jun sebagai tarikh baharu untuk status pengesahan lafaz cerai.
Peguam syarie mewakili pelakon, Puteri Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata kedua-dua pihak perlu mengesahkan dua lafaz cerai yang didakwa pernah dilakukan oleh Syamsul sebelum ini.
“Tujuan utama kita hari ini adalah mahkamah mendengar penjelasan dari pegawai JKP yang mengendalikan proses ini. Mahkamah berpuas hati dengan prosedur yang dijalankan oleh pegawai JKP dengan tertib.
“Dan mahkamah maklumkan dapatan pengerusi JKP dan wakil dari kedua-dua belah pihak, bahawa perkahwinan ini memang tidak boleh diselamatkan. Antara yang dikongsikan adalah shiqaq, ada pihak ketiga dan tidak bertanggungjawab.
“Sebelum kita teruskan dengan proses yang berikutnya, iaitu untuk merujuk pada hakam
kerabat, pihak Azmi (peguam Syamsul) membangkitkan lafaz talak yang sudah dilafazkan oleh anak guam saya.
“Jadi mahkamah mendapati isu lafaz cerai di luar mahkamah perlu diselesaikan dulu, kerana mahkamah perlu tahu yang ini talak ke berapa memandangkan kami sudah memohon cerai.
“Dia kata ada dua lafaz dan satu taklik, taklik adalah ‘conditional divorce’,” katanya ketika ditemui Gempak selepas laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu.
Jelas Akberdin lagi, disebabkan itu mahkamah sudah memberikan satu tarikh lain untuk kedua-dua pihak berbincang mengenai siapa yang mahu failkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah.
“Kita perlukan failkan untuk mahkamah mengesahkan perceraian itu disabit atau tidak.
“Peguam Syamsul syorkan untuk kami failkan sebab peguam dia pun mahu berjumpa dan berbincang cara terbaik untuk selesaikan kes ini. Sama ada kami failkan atau pihaknya yang failkan, kami akan maklumkan,” katanya.
Puteri Sarah bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana bergegas ke lapangan terbang untuk berangkat ke Jakarta, Indonesia, malam ini.
Namun Puteri Sarah sempat berkongsi dan berharap semuanya dipermudahkan selain teruja untuk ke Jakarta atas urusan perniagaan dan pekerjaannya.
“Selepas selesai kes hari ini, saya mahu terbang ke Jakarta. Saya sangat teruja untuk penerbangan malam ini. Saya ke sana berikutan hal bisnes, dan juga kerja.
“Saya akan ke sana selama seminggu dan anak-anak akan tinggal bersama ibu saya," katanya yang ditemani adik perempuan Puteri Sofea pada sesi berkenaan.
Sebelum ini, sesi perdamaian antara Syamsul dan Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) menemui jalan buntu.
Puteri Sarah mendakwa usaha berdamai dengan Syamsul tidak akan terjadi, sebaliknya, dia nekad dengan keputusan bercerai.
Malah, Puteri Sarah mengaku enggan bersemuka dengan Syamsul, sebaliknya, meminta sesi itu dilakukan dalam bilik berasingan.
Berikutan itu proses JKP dibawa kepada sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, dalam prosiding pagi tadi Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menolak permohonan Syamsul untuk melanjutkan perintah injunksi terhadap Puteri Sarah.
Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah memerintahkan agar kes itu didengar secara inter-parte (kedua-dua pihak), namun Syamsul tidak menghadirkan diri pada sebutan pertama kes itu.
Abdul Halim turut membenarkan Puteri Sarah selaku defendan kes memfailkan jawapan terhadap injunksi ex-parte dan kes disambung semula pada 8 Jun ini.
Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.
Must-Watch Video