Kumpulan hip hop popular, K-Clique bakal melancarkan sebuah buku biografi mengenai perjalanan karier seni setiap anggota kumpulan itu berjudul Merais.

Memetik laporan Harian Metro, anggota K-Clique, MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata buku yang bakal diterbitkan itu akan menceritakan segala kisah dalaman kumpulan berkenaan sejak ditubuhkan pada 2014.

"Buku ini kami sendiri yang tulis dan disunting serta diperkemaskan oleh pengarang dilantik. Menerusi buku ini, setiap ahli kumpulan ada kisah mereka yang tersendiri.



"Apa yang boleh saya katakan, buku ini menceritakan kisah benar kami dengan penuh jujur.

“Kami nak pembaca kenal siapa kami sebenarnya dan harap dapat memberi inspirasi," katanya kepada Harian Metro.

Tambah MK lagi, judul buku biografi itu dipilih bersempena dengan single terbaharu mereka berjudul Merais.

"Insya-Allah dalam tempoh beberapa bulan ini kami akan lancarkan buku ini. Tajuk buku ini sama dengan single terbaharu kami iaitu Merais.

“Merais bermaksud mengumpul. Jadi, kami kumpul segala kisah perjalanan hidup K-Clique dan diterjemahkan menjadi sebuah lagu.

“Secara umumnya, buku ini menjelaskan mengenai bagaimana kami bermula dalam bidang muzik.

"Ramai yang ingin tahu mengenai K-Clique dan bagaimana kumpulan ini boleh tertubuh dan dikenali.

“Kami harap single terbaharu ini dapat diterima ramai dan digemari seperti lagu kami sebelum ini,” ujarnya lagi.