Penyanyi popular Hollywood, Demi Lovato memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan kurang menyenangkan tentang produk keluaran sebuah kedai yoghurt beku baru-baru ini.

Memetik laporan CNN, kenyataan Lovato itu telah mengundang tentangan orang ramai yang merasakan dia sepatutnya bersikap lebih tenang dalam perkara itu.

Namun pada Isnin, Lovato tampil memberi penjelasan atas perbuatannya itu.

"Saya sangat lantang dalam perkara yang saya percaya, saya tahu kadang-kadang kata-kata saya boleh hilang maksudnya ketika emosi kerana saya manusia biasa," katanya.

Lovato sebelum itu menyentuh isu kedai yang bernama The Big Chill itu mempromosikan biskut tanpa gula dan produk diet lain.

Menurut penyanyi lagu Heart Attack ini, promosi sebegitu disifatkan sebagai satu eksploitasi dalam amalan diet.

"Sila lakukan dengan lebih baik," tulis Lovato menerusi Instagram Story yang disertakan tanda pagar, #dietculturevultures.

Tidak mendiamkan diri, pihak The Big Chill memberi respon juga menerusi Instagram Story mengatakan produk keluaran mereka dihasilkan mengikut kehendak diet yang berbeza.

Mereka turut menghantar mesej secara peribadi (DM) kepada Lovato berbunyi:

"Kami bukan mengeksploitasi diet (diet vultures), kami hasilkan produk untuk kehendak pelanggan kami selama 36 tahun.

"Kami mohon maaf jika anda kurang selesa dengannya," tulisnya.

Lovato membalas mesej tersebut dengan mengatakan perniagaan itu sepatutnya tidak mencari alasan dan lakukan menambah baik strategi promosi mereka.

Bagaimanapun, dalam permohonan maafnya, Lovato menyedari perbuatannya mungkin mengecewakan sesetengah pihak.

"Saya minta maaf, saya mungkin mengecewakan sesetengah pihak," katanya.

Pada masa yang sama, bintang itu juga terbuka untuk berjumpa pihak The Big Chill untuk membantu mereka menyampaikan mesej dengan lebih jelas.

Kredit Foto: Entertainment Tonight