Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan anak dan menantunya ditahan oleh polis di sebuah pub kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Memetik laporan Astro Awani, Mukhriz berkata anak dan menantunya bagaimanapun sudah membayar kompaun RM1,000 atas kesalahan tersebut.

"Memang benar bahawa anak dan menantu saya telah dibawa ke balai (polis) bersama dengan 27 orang yang lain di atas kesalahan melanggar ‘curfew’ PKPP.

"Mengikut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak polis Kuala Lumpur, mengikut undang-undang yang berkaitan, mereka semua telah dikenakan kompaun RM1,000 dan semua sudah bayar termasuk anak dan menantu saya," katanya.

Mengulas lanjut, Mukhriz mengakui terkilan dengan tindakan anak dan menantunya itu.

Kata beliau, nasihat juga telah diberikan kepada ahli keluarganya supaya tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Saya sudah pesan kepada semua keluarga saya juga... musim PKPP ini, janganlah langgar (prosedur operasi standard) kerana kita mesti tunjuk contoh yang baik... dan itu sebabnya saya memang kecewa kerana pelanggaran tetap berlaku juga.

"Tetapi kita sudah beri teguran dan memang patut dia kena kompaun oleh pihak polis,” katanya lagi.

Selain itu, Mukhriz turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak polis kerana bersikap adil dan tegas dalam mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang melanggar arahan PKPP.

Hasil pemerhatian Gempak, akaun Instagram (IG) Ally Mukriz yang juga merupakan cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dinyahaktifkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ringkas Dan Elegan… Majlis Perkahwinan Cucu Perdana Menteri Serba Mewah!

Terdahulu, media tempatan melaporkan anak perempuan Mukhriz ditahan di sebuah kelab malam kerana melanggar PKPP.


Sumber: Astro Awani