Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrolog Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah tampil memohon maaf kepada individu yang pernah terguris hati ekoran kenyataannya di media sosial sebelum ini.

Jelas Dr. Rafidah, beliau kini lebih faham situasi semasa serta keadaan orang awam yang bergelut dengan pelbagai isu, masalah dan kekangan disebabkan pandemik COVID-19.

"Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua golongan masyarakat.

"Pernah dulu saya berpendapat rakyat Malaysia tidak mahu vaksin. Tapi sekarang saya tahu: kebanyakannya mahu vaksin sebenarnya. Yang tidak datang temujanji masalah kebanyakannya adalah logistik.

"Sukar menghadiri temujanji. Ya lah, anak cucu jauh-jauh; PKP pulak tu. Saya sebak dan airmata kegembiraan sentiasa berlinangan melihat makcik pakcik bergembira kerana dapat vaksin," ciapnya di Twitter.

Dalam pada itu, Dr. Rafidah turut menyelar tindakan pihak yang berkepentingan hingga mengabaikan keselamatan rakyat hingga menyebabkan dirinya sendiri tersasar penilaian.

"Pernah dulu saya berpendapat rakyat Malaysia tidak jaga SOP. Keluar sana sini.

"Tapi sekarang saya tahu, ramai yang keluar sebab terpaksa keluar. Mencari sesuap nasi. Ramai pulak majikan yang hanya memikirkan diri sendiri, poket sendiri.

"Pernah dulu saya menyalahkan pesakit tidak berterus terang kepada kami. Tapi sekarang saya tahu, mereka takut. Takut kena saman, mungkin. Percayalah kepada kami, please. Saya merayu.

"Pernah dulu saya menyalahkan masyarakat kerana kes meningkat mendadak. Tapi sekarang saya tahu, kajian melaporkan pilihanraya Sabah adalah puncanya dahulu. Banyak nyawa telah terkorban.

Jikalau pihak berwajib masih tidak sedar, saya pun tidak tahu lagi nak cakap apa. At the very least, help people move forward. They deserve that.

"Entah siapa yang membuat saya percaya begini dahulu. Tidak lagi. Saya memohon maaf.

"Kepada manusia-manusia yang membuat kami rakyat marhaen menyalahkan diri sendiri, saya marah kepada anda sekarang. Kita hanya ada masing-masing.

"Di musim pandemik ini, ada juga yang fikir diri sendiri. Mengambil kesempatan diatas kesempitan orang lain," katanya yang turut menyeru rakyat agar tidak lagi menuding jari terhadap satu sama lain.

Dr. Rafidah turut membuat permohonan maaf kepada petugas media atas keterlanjuran kenyataannya sebelum ini.

"Saya minta maaf kepada media. Tidak langsung bermaksud sepertimana yang difahami

"Media sangat penting, of course. Saya dah tak nampak laporan yang negatif tentang vaksin & memang banyak berita yg menolong. Hope semua dah divaksin ya," tambahnya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan akan memanggil Dr. Rafidah bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai ciapannya berkenaan peranan media di laman Twitternya.

Tulis Dr. Rafidah sebelum ini; "Media mana? Tolong tunjukkan kebaikan vaksin kepada rakyat. Tak payahlah cerita-cerita artis langgar SOP (prosedur operasi standard). Pedulikan mereka ini.

"Gantikanlah program-program tidak berilmiah dengan yang boleh mempengaruhi minda masyarakat kita ke arah membuat keputusan yang lebih betul. Lebihkan."