Biarpun bergelut dengan pandemik COVID-19, sekumpulan anak seni meneruskan inisiatif menganjurkan Temasya Rangkaian (Terang) secara maya.

Terang merangkumi lima program utama yang menggabungkan seni, kesusasteraan, muzik, gaya hidup, budaya, pembangunan dan masyarakat.

Menurut salah seorang pengasas Terang, Muhammad Faixyl, temasya itu dianjurkan bagi mendekati khalayak dengan lebih interaktif.

"Kami berhasrat untuk membuang jarak, mendekati khalayak melalui program yang lebih interaktif.

"Atas faktor ini, Terang memperkukuh pelbagai program termasuk wacana, bengkel dan persembahan, yang tidak hanya memaparkan ilmu-ilmu pembangunan manusia, seni dan kebudayaan, tetapi menggalakkan perkongsian sesama panel dan audiens.

"Kita sedia maklum, pandemik merubah hidup kita secara total, maka melalui Terang, kami berharap untuk menjadi sebuah arena sokongan maya yang menyuburkan pemikiran.

"Selain hadiah istimewa untuk audiens bertuah, kami ada pelbagai kejutan untuk anda semua," katanya.

Tujuan Terang juga untuk menjana pendapatan buat penggiat seni dan membaik pulih ekonomi seni. Buktinya, meskipun acara adalah percuma tetapi setiap aktivis dan penggiat seni diberikan pendapatan.

Sebanyak lima program utama bertema bakal berlangsung, iaitu Bual Tekstual, Kembara Muzik Masa Hadapan, E-Sukan, Di Hati Filem serta Inisiatif Kreatif.

Segmen meliputi wacana, bengkel, forum dan persembahan yang dikendali oleh barisan artis, pengkarya, pengkritik dan artis seni kreatif negara.

Wawancara Khir Rahman akan berlangsung pada pukul 9 malam, 28 Ogos ini manakala, persembahan Wayang Kulit Purwo pada pukul 9 malam, 30 Ogos nanti.



Maklumat lanjut di @Temasyarangkaian.