Pelakon Farah Nabilah mendedahkan ibunya menginginkan dirinya lebih menyerlah ke hadapan bersama rakan artis yang lain.

Walaubagaimanapun, Farah akui dia lebih selesa menjadi diri sendiri serta tidak terlalu menonjol.

"Ibu saya ada suruh saya lebih ke hadapan, aktif di Instagram kerana bagi dia kalau saya lebih aktif mungkin rezeki lebih banyak yang masuk.

"Sejujurnya, saya lebih selesa menjadi diri sendiri serta tidak terlalu menonjol.

"Kalau saya keluar pergi penggambaran, selepas selesai saya akan terus balik ke rumah. Tak akan pergi melepak.

"Saya bersyukur sahaja apa yang saya dapat sekarang ni. Alhamdulillah walaupun tak 'expose' diri tetapi rezeki itu datang sendiri yang saya tidak pernah terfikir akan dapat," katanya kepada Gempak.

Farah ditemui selepas pelancaran Nivea Whitening Deep Serum di Mid Valley semalam.

Tambah pelakon Cik Reen Encik Ngok Ngek ini, dia akui berasa selesa tanpa pengurus yang menguruskannya.

"Saya tiada pengurus. Saya berasa selesa tanpanya kerana lebih mudah. Saya ini seorang yang tidak suka dikawal.

"Kalau ada tawaran yang datang saya akan bertanya serta meminta pendapat daripada ibu," katanya lagi.

Kini, Farah sedang aktif menjalankan kempen selama tiga bulan untuk Nivea Whitening Deep Serum.