Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dimulakan 23 Julai lalu tetap mencerminkan semangat berkobar-kobar dalam diri setiap atlet yang terlibat, serta penyokong dari negara masing-masing.

Sebelum menutup tirai 8 Ogos ini, #ListenToAided mengambil kesempatan untuk mengajak anda menghayati lima lagu yang mewarnai acara sukan gilang gemilang ini.

Colourful - Barisan Penyanyi Pelbagai Bangsa



Sebelum kita ke lagu-lagu lain, semestinya lagu tema dari tuan rumah ini yang perlu diberi perhatian.

Colourful dihasilkan oleh penulis dan produser Ryosuke Imai dengan kerjasama Coca-Cola, ia merupakan lagu tema Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan bermula 24 Ogos hingga 5 September depan.

Seramai 14 penyanyi dihimpunkan dalam rakaman lagu yang meraikan kepelbagaian negara, bangsa, jantina, umur dan kerjaya ini.

Antara penyanyi yang terlibat adalah AI, Motohiro Hata, Little Glee Monster, Daichi Miura, Perfume, Sabrina Carpenter, Blue Vintage dan ramai lagi.

Demi Malaysia - Awie, Jaclyn Victor & Naim Daniel



Lagu nyanyian tiga penyanyi popular Datuk Awie, Jaclyn Victor dan Naim Daniel ini telah menjadi lagu tema rasmi dan pembakar semangat untuk barisan atlet yang mewakili Malaysia ke Tokyo.

Demi Malaysia merupakan ciptaan Zimi dan liriknya ditulis oleh Jerry. Lagu ini diinspirasikan daripada semangat juang barisan atlet Malaysia yang mewakili negara untuk beraksi di temasya sukan tersebut.

Selain Sukan Olimpik Tokyo 2020, lagu ini juga dihasilkan untuk menaikkan semangat para atlet yang bakal menyertai Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo tidak lama lagi.

Remember This - Jonas Brothers



Kumpulan tiga beradik popular dari Hollywood, Jonas Brothers juga menyanyikan lagu berjudul Remember This dalam liputan NBC untuk Tokyo 2020.

Tajuk lagu itu mempunyai persamaan dengan nama konsert jelajah mereka, A 44 Date Remember This Trek yang akan bermula 20 Ogos ini.

Terdahulu, kumpulan ini pernah memberi sedikit bayangan tentang lagu Remember This ketika persembahan di Anugerah Muzik Billboard.

Untuk versi Olimpik, Jonas Brothers menampilkan lirik berbeza yang diinspirasikan daripada pasukan Amerika dan temasya sukan itu sendiri.

Butter - BTS


Kita beralih kepada lagu yang dimainkan sebagai latar ketika perlawanan.

Butter nyanyian kumpulan K-Pop kegemaran ramai, BTS dimainkan sebagai lagu latar ketika perlawanan tinju wanita antara Uganda dan Jepun pada 25 Julai.

Lagu yang sama juga dimainkan ketika perlawanan Ragbi antara Korea dan New Zealand keesokan harinya.

Lovesick Girls - BLACKPINK


Bukan sahaja BTS, lagu nyanyian BLACKPINK juga tidak ketinggalan dimainkan ketika acara sukan terbesar dunia itu.

Lovesick Girls dimainkan sebagai lagu latar ketika perlawanan bola tampar wanita antara Turkey dan China pada 25 July.

Banyak lagi lagu K-Pop lain yang dimainkan ketika berlangsungnya beberapa perlawanan dalam temasya sukan ini antaranya Dun Dun Dance dari Oh My Girl dan Feel Special nyanyian TWICE.

Tidak kurang juga pelbagai lagu tema dan pembakar semangat dari pelbagai negara yang terlibat dalam Tokyo 2020. Usaha mereka layak menerima pujian dan dihormati.

Apapun, muzik sentiasa mempunyai kekuatan tersendiri dan berkait dengan pelbagai bidang lain.

Selain fesyen, bidang sukan juga memerlukan muzik untuk membangkitkan semangat dan keceriaan para atlet dan sesiapa sahaja yang menontonnya.

Semoga kita bertemu lagi dalam #ListenToAided minggu hadapan!

*NOTA: #ListenToAided ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis berkaitan dunia muzik dalam dan luar negara. Penulis juga menghormati pendapat segelintir pembaca yang mungkin bertentangan.

Rujukan: The Malaysian Reserve, RollingStone, classicfm.com & The Korea Times
Kredit Foto: Instagram (Datuk Azizulhasni) YouTube (Demi Malaysia), REUTERS (BTS & Tokyo Olympic) & BERNAMA (Pandelela)