Pelakon dan pelawak, Sharifah Shahira tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap netizen yang memuat naik mesej berbaur hinaan dan fitnah di laman sosialnya.

Sharifah Shahira atau Shiera yang juga penyampai radio Suria FM berkata, dia hanya mahu berdepan dengan mereka yang menghina dan memfitnah dirinya serta ingin bertanya mengapa mereka berbuat demikian.

“Saya tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang. Pada saya ia hanyalah perkara kecil, kecuali jika perkara itu memang bukan saya, tetapi dikaitkan seperti gambar bogel yang disebarkan.

“Saya nak jumpa, nak tahu siapa dia, apa latar belakangnya dan saya juga mahu bertanya mengapa dia beriya-iya nak mengaibkan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Ketika berdepan golongan terbabit, Shiera berkata, dia tidak menafikan ada antara mereka bersikap kurang ajar walaupun dia cuba berdiplomasi.

Sebelum ini, aktres Jasmin Hamid dan Rita Rudaini mengambil tindakan undang-undang terhadap netizen melampau.