Usahawan dan penyanyi Datuk Seri Vida memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu tuntutan sebanyak RM59 juta oleh seramai 41 pelabur yang pernah melabur mata wang kripto (bit coin) terhadapnya.

Jelas Vida, 51, dirinya baru sahaja dimaklumkan mengenai hal terbabit pada petang Jumaat. Malah dia berasa terkejut dan menyerahkan sepenuhnya kepada peguam untuk tindakan lanjut.

“Saya sendiri tidak tahu secara terperinci apa tuntutan pihak mereka. Malah saya baru sahaja tahu berkenaan perkara ini selepas dimaklumkan beberapa pihak. Lebih baik saya berurusan dengan peguam. Biarlah pihak peguam akan jawab.

“Saya juga tidak boleh komen lanjut sebab perkara ini melibatkan undang-undang. Biarlah saya bincang dengan peguam dahulu,” katanya kepada kepada Gempak.

Vida berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharu anaknya iaitu Cik B berjudul Doakan yang diadakan di ibu kota pada petang Jumaat.

Dalam masa sama, pelantun lagu Ku Ikhlaskan itu tidak menolak kemungkinan tuntutan yang dilakukan sekumpulan pelabur tersebut adalah disengajakan dengan tujuan mahu menjatuhkan maruah serta perniagaannya.

Malah, tegas Vida dia secara peribadi tidak terkesan dengan apa yang telah berlaku terhadapnya.

“Saya ini dah lama dalam industri perniagaan dan sosial media. Saya tahu ramai yang tak suka saya. Saya sedar saya banyak musuh dan orang yang tak suka.

“Jadi tak mustahil ada orang yang cuba nak jatuhkan saya. Mungkin mereka sakit hati atau cemburu dengan apa yang saya ada.

“Memanglah terkejut dengan berita itu tapi saya tak terkesan pun. Saya masih bertahan dalam perniagaan,” jelasnya.

Dalam masa Vida juga terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat sekiranya mereka mahu bersemuka.

Terdahulu, pada pagi Jumaat, satu sidang media diadakan bagi menuntut Vida untuk membayar wang pelaburan kepada 41 individu yang pernah membuat pelaburan dalam Lavida Coin (DSV Crypto Club, LUX Galaxies and VI Profit Galaxy).

Kesemua yang terbabit membuat tuntutan tersebut selepas mendakwa wang pelaburan serta keuntungan yang dijanjikan tidak dipulangkan kepada mereka sejak 2018.