Viral

Pempengaruh: Antara Realiti, Plot Twist & Tragedi, Jangan Sampai Makan Diri

gempak
Maliah Surip
13/07/2024
09:55 MYT
Sponsor Banner
Pempengaruh: Antara Realiti, Plot Twist & Tragedi, Jangan Sampai Makan Diri
Istilah ‘dunia tipu-tipu’ yang diguna pakai untuk pengguna media sosial di seluruh dunia, ada benarnya.
Hampir tidak ada yang bersifat semula jadi atau hakikat sebenar kehidupan dikongsikan seseorang. Sebaliknya apa yang dipamerkan adalah secebis perkara yang kadang kala langsung tidak pernah wujud dalam realiti kehidupan mereka.
Namun demi konten, seseorang pengguna media sosial sanggup melakukan apa sahaja. Demi tanda likes, demi menjadi buah mulut, demi menjadi tenar dan barangkali setelah itu ada rezeki diberi peluang membuat reviu makanan sekurangnya, sudah menjadikan seseorang berasa diri berpengaruh.
Berpengaruh atau berkuasa atau popular. Bercakap tentang status ini, dalam istilah media sosial, individu yang berpengaruh disebut sebagai pempengaruh. Dalam panggilan bahasa Inggeris dikenali sebagai Influencer. Atau digelar Key Opinion Leader (KOL).
Hari ini pempengaruh bersepah di seluruh dunia. Ada pempengaruh kesihatan, pempengaruh kulinari, pempengaruh kecantikan atau apa saja jenis pempengaruh yang dirasakan relevan dengan semua situasi dan keadaan.

Plot twist

Semua pemilik media sosial mahu jadi pempengaruh — meski hanya untuk kumpulan kecil atau diri sendiri. Apa lagi jika berjaya mengumpul bukan beribu tapi mencecah jutaan pengikut yang tertarik dengan penampilan dan konten yang dipamerkan, pempengaruh akan menjadi individu yang memberi inspirasi.
Ada juga ramai pempengaruh yang muncul tiba-tiba dan menyogok konten semberono.
Tapi sedarkah kita yang tidak semua dipamerkan di media sosial adalah kebenaran?

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan Suami Isteri Pempengaruh Islamik Direman 4 Hari, Bantu Siasatan Berhubung Salah Guna Kuasa Untuk Dapatkan Suapan

ARTIKEL BERKAITAN: Pempengaruh Islamik Terpalit Isu Seleweng Kutipan Derma Mohon Doa Yang Baik - “Alhamdulillah, Saya Dalam Keadaan Sihat”

ARTIKEL BERKAITAN: Seleweng Kutipan Derma, Suami Isteri Pempengaruh Ditahan SPRM

Sedarkah kita, konten yang dipamerkan bukan ‘kosong’ tapi ada tujuan misalnya jika pempengaruh punya butik pakaian, maka dia bertujuan menjual laris pakaian dengan pengaruh dan kepercayaan yang telah diraih di media sosial.
Begitu juga ramai yang ingin menjadi pempengaruh kerana nilai eksklusiviti dan menjana pendapatan lumayan dengan cara glamor.
Arakian, tidak sedikit pempengaruh yang ada sebenarnya perlahan-lahan telah memusnahkan diri sendiri —- realiti populariti yang dicari bertukar menjadi tragedi.
Ada banyak contoh pempengaruh yang pernah menjadi inspirasi sebenarnya ada topeng tersendiri. Saat sedang dipuja disifatkan perlu dijadikan contoh inspirasi, tiba-tiba plot twist terjadi.
Misalnya laporan berita yang berbunyi: ‘Sejak 2020, pempengaruh sudah kutip RM3 juta’.
Ia merujuk kepada pasangan pempengaruh yang sedang direman kerana disyaki menyeleweng dana derma awam terbabit dalam aktiviti itu sejak 2020.
Ia sungguh khabar yang mengejutkan bagi pengikut pasangan pempengaruh yang selalu tampil dengan konten bersifat Islamik dan motivasi ini.
Sementelah keduanya sempat menafikan dan mahu menyeret pemfitnah ke mahkamah kerana menuduh mereka menyeleweng sumbangan atau derma awam menerusi beberapa kempen yang dijalankan sebelum ini.
Di media sosial menerusi konten-konten yang dikongsikan ramai bermimpi merealisasikan hidup seperti pasangan pempengaruh ini —sekali lagi tanpa disedari ramai yang terhipnosis dengan ‘dunia tipu-tipu’ yang hampir tidak wujud secara realiti.
Jika ada pempengaruh mengambil kesempatan dengan pelbagai cara untuk kepentingan peribadi, ada banyak kisah sedih yang tidak sepatutnya berlaku hanya kerana menggunakan media sosial.
Salah satu contoh adalah kisah pempengaruh media sosial A. Rajeswary, 30, atau lebih dikenali Esha yang mengambil nyawa sendiri kerana tidak tahan dibuli dan diugut di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Tamatkan Riwayat Sendiri Kerana Siber Buli, Ini Kronologi Kes Influencer Rajeswary Appahu

ARTIKEL BERKAITAN: Pempengaruh Buat Live TikTok Dengan Nikita Mirzani, Netizen Terhibur: “Kau Cuy Kan Je”

Jika dahulu kita membaca kehidupan media sosial penuh plot twist dan berakhir tragedi banyak terjadi di luar negara, kini pengguna di Malaysia berdepan ancaman yang sama.
Pengguna media sosial seharusnya berhemah dan bijak menilai. Melahirkan pendapat biar waras atau jika tidak boleh swipe seperti lagu popular Alyph ‘Kalau aku like aku like, Kalau tak Aku swipe’ demi kesejahteraan bersama.
Buat mereka yang sudah terlanjur menjadi pempengaruh, jadilah pempengaruh yang mampu menyebarkan kebaikan dan membawa manfaat kerana sesungguhnya besar tanggungjawab yang perlu dilunaskan kepada semua.

Jangan tunggang agama, jangan jadi scammer, jangan fikir wang besar kerana pada saat plot twist terjadi nanti semua akan terlondeh lalu bertukar tragedi.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live